PENDUDUK di kawasan Parlimen Kuala Nerus tidak perlu mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan sekiranya menghadapi masalah kewangan atau tidak mempunyai makanan.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd, Khairuddin Aman Razali berkata, rakyat hanya perlu menghubungi sahaja pasukan kerja di kawasan tersebut.

Setakat ini, kata beliau, pasukannya telah menerima sebanyak 7,300 permohonan dalam tempoh sebulan sejak awal Jun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 5,810 permohonan telah menerima bantuan mereka menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.

“Rakyat saya di Kuala Nerus tidak perlu angkat bendera putih. Hubungi sahaja pasukan kerja saya.

“Cukuplah pasukan kami mengetahui kesusahan anda. Tugas anda ialah meminta bantuan apabila diperlukan dan tugas kami membantu anda,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Baca artikel berkaitan: 3 hari kehabisan beras, ibu tunggal kibar bendera putih segera dibantu

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, rakyat di Kuala Nerus boleh menghubungi terus wakilnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melaporkan kesusahan yang dialami jiran di sekeliling.

Kata beliau, penduduk di DUN Buluh Gading boleh menghubungi Yusrizal di talian 013-9267731 manakala DUN Tepoh boleh menghubungi Yusof di talian 013-9287731.

“DUN Bukit Tunggal pula boleh menghubungi Azzam di talian 019-9367731 dan Azmi bagi DUN Seberang Takir di talian 019-2937731.

“Kepada perantau di luar Kuala Nerus pula boleh menghubungi segera Amir di talian 019-2917731,” jelas beliau.

Kempen mengibarkan bendera putih digerakkan pengguna media sosial supaya sesiapa yang mempunyai masalah termasuk terputus bekalan makanan untuk membolehkan masyarakat sekeliling membantu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram