Masyarakat Orang Asli menunggu giliran untuk menerima vaksin di hadapan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak Mara Liner. GAMBAR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar

SERAMAI 144,180 masyarakat Orang Asli seluruh negara layak menerima suntikan vaksin COVID-19.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berharap kesemua masyarakat Orang Asli itu dapat menerima suntikan dengan kadar segera menerusi pelbagai usaha digerakkan kementeriannya.

Kata beliau, sehingga kini, seramai 6,769 Orang Asli telah menerima suntikan dos pertama vaksin manakala 1,599 daripadanya pula sudah lengkap dua suntikan sehingga 29 Jun lalu.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar sentiasa berusaha untuk memberi penerangan jelas mengenai kebaikan suntikan vaksin COVID-19 terhadap masyarakat luar bandar.

Selain itu, Abd. Latiff memaklumkan, kementerian itu turut membantu memudahkan urusan pengambilan vaksin melalui pelbagai kaedah dan salah satunya membawa pusat pemberian vaksin bas bergerak Mara Liner ke kawasan berdekatan.

Bas Mara Liner yang diubahsuai menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak untuk masyarakat luar bandar. GAMBAR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar

“Kementerian juga menyeru kepada masyarakat Orang Asli untuk mendaftar pengambilan vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual melalui bantuan pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah dan negeri masing-masing.

Baca artikel berkaitan: Pelan Pemulihan Negara persiapan keluar pandemik – PM

“Jakoa sentiasa bersedia membantu masyarakat Orang Asli untuk mendaftar serta membawa masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman ke PPV untuk mengambil suntikan vaksin,” katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad menyantuni masyarakat luar bandar yang menerima vaksin COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak Mara Liner, Mersing, hari ini. GAMBAR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Seramai 215 Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing telah pun menerima suntikan vaksin masing-masing menerusi PPV bergerak Mara Liner hari ini.

Abd. Latiff memberitahu, program tersebut dijayakan melalui kerjasama antara Jakoa, Badan Bertindak COVID-19 Kebangsaan (CITF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta beberapa agensi kerajaan lain.

“Program yang dilaksanakan hari ini merupakan salah satu dariapda program outreach yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk mendekati masyarakat luar bandar mendapatkan suntikan vaksin.

“Usaha ini untuk memastikan masyarakat luar bandar termasuk Orang Asli tidak ketinggalan dalam mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di seluruh negara,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram