ada apa dengan unta

Melakukan perjalanan yang panjang merentasi lautan luas samudera padang pasir bukanlah sesuatu yang sukar. Apatah lagi dipanah dengan terikan mentari sehangat 60 darjah celcius tanpa makan dan minum, ia tidak langsung mendatangkan sebarang mudarat.

Begitulah hebatnya ciptaan Allah S.W.T. terhadap makhluk yang bernama unta. Dengan keajaiban ciptaan Nya itu, maka tidak mustahil mengapa di dalam surah al-Ghasiyyah, ayat 17 Allah berfirman,

Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?”

Ada apa dengan unta sehingga Allah menyuruh kita melihat bagaimana ia diciptakan. Menurut imam al-Qurtubi, ayat ini diturunkan bertujuan membuka mata orang kafir, untuk melihat serta memaksa mereka berfikir tentang kekuasaan Allah S.W.T. melalui penciptaan Nya.

Hal ini kerana, seekor unta yang Allah ciptakan, mempunyai begitu banyak sekali kelebihan serta keajaibannya. Dan ini menjadi bukti bahawa Allah begitu berkuasa di dalam mencipta sesuatu.

Perhatikan struktur tubuh unta, jika kita sedari, di atas badan unta terdapat satu atau dua bonggol yang unik, mengikut jenisnya yang tersendiri. Sesuai dengan sifat semulajadi ciptaan Nya, maka haiwan ini hanya boleh didapati di kawasan gurun sahaja, seperti sekitar Asia dan juga Afrika.  

Bonggol yang terdapat di atas badannya berperanan sebagai sumber bagi membekalkan tenaga kepada tubuh. Mungkin ramai yang beranggapan di dalam bonggol tersebut mengandungi air, tetapi sebenarnya mereka silap.

Ini kerana bonggol tersebut hanya mengandungi lemak khusus yang mampu berubah menjadi air saat tubuhnya memerlukan.

Melalui bantuan oksigen hasil dari proses respirasi, hanya dengan satu gram lemak sahaja ia mampu bertukar menjadi satu gram air. Melalui proses ini juga, ia mampu kehilangan 33 peratus berat badan, dan akan kembali pulih semula apabila mendapat bekalan air, menakjubkan bukan?

Jangan tidak percaya, usia unta hampir menyamai usia manusia kerana ia mampu mencapai umur sehingga 50 tahun. Dan jika kita melihat pada kakinya pula, ia mempuyai struktur kaki yang sangat kuat, tegap dan lebar.

Unta merupakan salah satu haiwan unik ciptaan Allah yang disebut dalam al-Quran

Dengan dua jari yang bulat dan tebal, memungkinkannya menahan pelbagai jenis permukaan tanah seperti padang pasir, batu bata, dan lain-lain. Secara tidak langsung juga, memudahkannya untuk menyeimbangkan diri ketika melalui laluan yang lembut dan berpasir seperti di kawasan gurun.

Manakala kulitnya dapat disesuaikan dengan iklim persekitaran. Ketika musim sejuk, lapisan kulitnya mampu menahan sehingga -51 darjah celcius dan ketika panas pula, ia mampu bertahan sehingga lebih 53 darjah celcius.

Dikatakan juga, kelopak mata unta dapat menembusi cahaya sehingga dapat melihat, sekalipun matanya tertutup. Dan bulu matanya yang panjang melindungi mata dari sebarang terjahan debu dan butiran pasir.

Contohi sifat unta

Sememangnya unta telah Allah jadikan untuk memberi khidmat kepada manusia kerana sifatnya yang patuh, dan taat kepada tuannya. Ia juga merupakan haiwan yang mempunyai sifat sabar, kerana itulah sebagai manusia kita disuruh mencontohi sifat yang ada pada unta.

Selain itu, satu lagi sifat unta yang wajar menjadi contoh bagi manusia ialah, ia akan melakukan proses mengawan ditempat yang tersembunyi dan jauh dari manusia, atau haiwan yang lain. Ini kerana unta adalah haiwan yang mempunyai sifat malu yang begitu tinggi.

Unta adalah binatang pemalu. Ia hanya akan mengawan ditempat tersembunyi

Ketika mengawan, jika diketahui ada manusia yang mengintainya, maka ia akan bertindak mencederakan orang tersebut. Unta juga merupakan haiwan yang setia. Ia tidak akan berkongsi pasangannya dengan unta lain, tidak sebagaimana haiwan yang lain.

Dibandingkan dengan realiti yang berlaku kini, masyarakat kita terutama anak-anak muda pula, tanpa segan silu melakukan maksiat secara terang-terangan di hadapan khalayak. Bertentangan sekali dengan sifat unta. Justeru itu tidak hairanlah mengapa Allah S.W.T. menyeru dan menyuruh kita mengikut sifat-sifat positif yang pada unta dalam kehidupan seharian.

Sebagai manusia yang telah diberikan anugerah akal untuk berfikir, mengapa masih lagi tidak meyakini akan kekuasaan Nya, bahkan meragui pula Allah tuhan yang Esa. Malah lebih teruk lagi sanggup pula berperangai lebih buruk dari unta. Wallahu a’lam

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram