Lebih 28 tan daging beku import dari India dirampas kerana dibawa masuk tanpa permit sah./ Gambar media sosial

JUMLAHNYA bukan sedikit tetapi 28,008 kilogram (kg). Ini merujuk kepada daging kerbau sejuk beku dari India yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor.

Rampasan terbaru itu gara-gara ‘daging kotak’ itu dibawa masuk tanpa memenuhi syarat import yang sah.

Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim berkata, kontena membawa daging kerbau sejuk beku dari India ditahan kerana gagal mengemukakan permit import yang sah, di Pelabuhan Klang Barat, Selasa lepas.

Katanya, kontena yang membawa daging sejuk beku dianggar bernilai RM290,786.06 itu ditahan pihaknya susulan pemeriksaan pada 12.15 tengah hari.

“Kontena tersebut ditahan untuk tindakan lanjut kerana gagal mengemukakan Permit Import Maqis yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Rezeki harimau.. Zoo Taiping terima daging rampasan MAQIS

Lepaskan 41 kontena daging tak diiktiraf, pegawai MAQIS didakwa

Zamri berkata perbuatan mengimport daging sejuk beku tanpa permit import itu akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram