EKORAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak tahun lalu, penyanyi Muna Shahirah akui pendapatannya sebagai anak seni banyak terjejas.

Beberapa tawaran persembahan pentas terpaksa dibatalkan berikutan kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti keramaian.

Enggan duduk diam, Muna,27, berpendapat bahawa dalam situasi yang sebegini dia harus bijak mencari peluang lain dan jangan hanya bergantung dalam satu bidang sahaja.

Bermula sekadar suka-suka, siapa sangka kini Muna semakin aktif dalam permainan video PUBG sebagai salah satu langkah menambah pendapatan.

“Sejak PKP, tawaran persembahan, program televisyen dan lain-lain memang tiada. Ini sangat menjejaskan pendapatan anak seni seperti saya.

“Namun saya bersyukur kerana sejak PKP 1 lagi saya telah berjinak-jinak menceburkan diri dengan permainan video PUBG.

“Pada mulanya sekadar suka-suka main di telefon bimbit. Lama-kelamaan saya mula belajar sendiri melalui Youtubr tanpa bimbingan sesiapa.

“Lepas itu saya mula ‘stream’ PUBG melalui Facebook menggunakan komputer. Dan tidak disangka-sangka jalan saya Allah mudahkan dan kini jumlah pengikut saya mencecah hampir 500 ribu orang,” katanya kepada URTV.

Menurut Muna, permainan video PUBG itu bukan sahaja menghasilkan pendapatan kepadanya, malah telah membuka jaringan pengikut dan peminat baru.

“Mula-mula tu ada yang tak tahu saya penyanyi, tetapi sewaktu ‘live streaming’ kami bersembang sambil layan ‘game’ PUBG saya sajalah nyanyi, kemudian ada yang tegur ‘eh suara awak sedap, awak ini penyanyi ke?’.

“Saya guna peluang tersebut untuk mempromosikan lagu saya di Youtube. Dari situ bertambahlah kenalan dan peminat saya di Facebook.

“Saya melihat perkara ini dari sudut positif dan berbeza, saya mula nampak bahawa permainan ini bukan sahaja boleh menjana pendapatan malah ianya membantu saya untuk mempromosikan lagu disamping dapat minta pengikut yang turut serta dalam PUBG tu untuk undi lagu saya.

“Alhamdulillah mereka sangat baik dan tidak keberatan untuk membantu saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muna kini tampil dengan single terbaharu berjudul Bukan Milikku yang merupakan hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, manakala liriknya pula oleh Ikhwan sendiri.

“Sebenarnya saya gementar juga nak lancarkan single baru dalam waktu PKP ini sebab bimbang dikatakan tidak prihatin dengan keadaan semasa.

“Tetapi memandangkan ia adalah tuntutan kerja, jadi saya terpaksa melunaskan tanggungjawab saya pada syarikat rakaman dan untuk peminat,” jelasnya.

Bukan Milikku merupakan lagu balada cinta kelima yang dirakamkannya.

“Bukan saya tidak mahu tukar genre lagu, tetapi saya sudah selesa dengan lagu yang berkonsepkan balada di samping ia merupakan cadangan dari syarikat rakaman FMC Music.

“Jika di beri peluang, saya teringin nak bawakan lagu berkonsepkan pop seperti lagu Nabila Razali iaitu Permata Hati,” ungkapnya.

Bukan Milikku akan dilancarkan serentak di semua saluran termasuk di Youtube FMC Music bermula hari ini, pukul 8 malam.