syukur maka bertambah nikmat

Satu hari, seorang budak lelaki yang buta duduk di kaki lima sebuah bangunan pejabat. Sambil meraba-raba tempat duduknya, dia mengeluarkan sehelai kain kecil lalu dihamparkan di depannya.

Kemudian, dia mengeluarkan sehelai kertas yang tertulis, “Saya buta, saya amat memerlukan bantuan anda.” Kerana simpati, orang ramai yang lalu lalang menghulurkan sekeping dua syiling perak.

Tidak berapa lama kemudian, lalulah seorang lelaki melewati budak yang buta itu. Sambil menyapa si anak kecil tadi, dia meraba-raba poket seluar mencari-cari syiling untuk didermakan.

Lalu, diletakkan di atas kain kecil di hadapan kanak-kanak itu sambil memerhatikan kertas bertulis yang diletakkan oleh budak lelaki berkenaan. Lelaki itu meminta izin untuk melihat kertas tersebut. 

Dia  lantas mengambil dan menulis perkataan baru yang lain lalu beredar. Seketika kemudian, kain kecil itu mula dipenuhi wang dari orang ramai yang bersimpati dengan nasib kanak-kanak itu.

Pada waktu tengah hari, lelaki tersebut kembali semula mendapatkan kanak-kanak itu untuk melihat apa yang berlaku kepadanya. Mungkin kerana tingkah laku lelaki itu agak berbeza berbanding penderma yang lain, budak lelaki itu dapat mengenali derap tapak kakinya. Lalu dia bertanya,

“Adakah encik melakukan sesuatu pada kertas itu pagi tadi? Apa yang encik buat?”

“Saya hanya menulis sesuatu yang jujur dan ikhlas. Saya tulis sesuatu yang sama tetapi dengan ayat yang berbeza,” kata lelaki itu.

Apa yang ditulis adalah,

Hari ini adalah hari yang cukup indah, namun saya tidak dapat melihatnya.

Cuba perhatikan, maksud ayat pertama dan kedua adalah sama. Namun, cuba lihat perbezaan pada ayat kedua. Ayat tersebut memiliki maksud yang sangat mendalam dengan permulaan ayat sebagai tanda syukur kepada Allah.

Mulakan hari anda dengan bersyukur maka Allah akan tambahkan nikmat

Mungkin kerana keberkatan, maka Allah menambahkan rezekinya dalam hamparan kain kecil itu.

Begitulah dalam kehidupan kita seharian. Kita terlalu kurang bersyukur tetapi sering merungut-rungut dengan apa yang kita ada. Tanpa disedari, rungutan-rungutan itulah yang menghakis segala keberkatan dan nikmat yang sepatutnya kita perolehi. Bersyukurlah, sesungguhnya syukur itu pembuka pintu rahmat. 

 “Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” Surah Al-Mu’minun: 78

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram