PUKUL 2.00 pagi. Seorang lelaki yang lena dibuai mimpi terjaga daripada tidur. Dia merasakan kipas siling dalam bilik hotel yang dihuninya berpusing terlalu laju sebelum kipas itu tiba-tiba berhenti sendiri.

Menyangka kipas itu rosak, lelaki itu menyambung tidurnya semula. Esok pagi apabila terjaga daripada tidu, dia terkejut melihat segala bantal di dalam bilik itu telah disusun menjadi bentuk piramid. Pelik. Siapa pula yang menyusunnya sedangkan dia tidur berseorangan.

Dalam satu kejadian lain pula, seorang wanita yang baru hendak tertidur terjaga kerana televisyen dalam biliknya tiba-tiba terbuka sendiri. Malah, TV itu terbuka dan tertutup berulang kali. Dia juga terhidu bau harum seperti wangian bunga yang datang dan hilang sekelip mata.

Oh ya, wanita tadi menginap di bilik hotel yang sama seperti lelaki di awal cerita tadi. Bukan itu saja, ada banyak lagi aduan lain berhubung kejadian aneh yang berlaku di bilik bernombor 3312 di Hotel Del Coronado, California di Amerika Syarikat.

Ada juga pengunjung mengadu ternampak bayangan wajah seorang wanita di skrin televisyen yang tertutup. Jelmaan ‘wanita’ itu juga sering dilihat di sekitar kawasan hotel itu.

Hotel Del Coronado dahulu (kiri) dan sekarang (kanan).

Siapakah gerangan wanita tersebut dan mengapa dia menghantui kawasan hotel yang dibina pada tahun 1886 itu?

Misteri Gadis Cantik Bernama Lottie

Suatu petang pada November 1892, seorang gadis cantik berusia lingkungan 20-an mendaftar masuk ke dalam Hotel Del Coronado. Hanya memperkenalkan dirinya sebagai Lottie A. Bernard, gadis itu tampak murung seperti sedang dilanda masalah.

Namun, gadis itu rajin menyapa pekerja hotel dan memberitahu bahawa dia sedang menunggu kedatangan abangnya yang merupakan seorang doktor.

Malang menimpa apabila selepas lima hari menginap di hotel tersebut, gadis itu ditemui mati di laluan luar hotel yang juga merupakan jalan pintas menuju ke arah pantai.

Lottie mati akibat tembakan di kepala. Polis turut menjumpai sepucuk pistol dalam genggaman tangannya. Kes itu disifatkan sebagai bunuh diri.

Laluan di mana mayat Lottie ditemui.

Pihak berkuasa menggeledah bilik Lottie kerana ingin mengetahui asal usul gadis misteri itu. Tetapi tiada satu pun barangan peribadi yang boleh mengesahkan identiti gadis tersebut kecuali nama ‘Lottie Bernard’ yang digunakannya ketika mendaftar masuk ke hotel.

Selepas kematiannya, pihak polis menghantar lakaran wajah Lottie dengan harapan seseorang akan tampil untuk membantu merungkaikan misteri kematian gadis itu.

Akhirnya diketahui nama sebenar Lottie adalah Kate Morgan dan merupakan isteri kepada Tom Morgan. Dikatakan, pasangan suami isteri ini menyara hidup dengan hasil berjudi dan mereka juga menggunakan kecantikan Kate untuk menggoda mangsa hingga terpedaya. 

Suatu hari, Kate mendapat tahu dirinya hamil lalu mengajak suaminya meninggalkan kehidupan gelap mereka. Kate berhasrat membina kehidupan baru dengan kelahiran anak mereka.  

Tapi, harapan Kate musnah apabila suaminya tidak mahu berubah. Pertengkaran demi pertengkaran berlaku. Kate akhirnya membawa diri ke Hotel Del Coronado dan dipercayai telah dibunuh oleh suaminya yang mungkin tidak mahu kegiatannya dibongkar oleh Kate.

Lottie (gambar kiri) sebenarnya ialah Kate Morgan. Dia datang ke hotel ini setelah kecewa dengan suaminya dan berakhir dengan kematian.

Kebenaran tentang kematian Kate hanya terungkai pada tahun 1990. Itu pun apabila Alan May yang merupakan seorang peguam bahagian jenayah telah mengkaji semula bukti kejadian tersebut dan mendapati Kate sebenarnya telah dibunuh.

Makam Kate Morgan.

Ini berdasarkan kedudukan mayat Kate yang ditemui dan kelongsong peluru yang tidak sepadan dengan pistol yang dipegangnya menjadi bukti bahawa Kate tidak membunuh diri. Namun, suaminya tidak dapat dikesan dan mungkin juga sudah mati kerana kejadian itu sudah terlalu lama berlaku.  

Sejak kejadian itu, dikatakan kelibat Kate Morgan sering muncul dan berlegar-legar dalam kawasan Hotel Del Coronado terutama di bilik 3312, bilik yang pernah dihuninya dahulu.

Kelibat Kate dikatakan sering muncul di sekitar hotel terutama di bilik 3312 yang pernah dihuninya.

____________________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam