endometriosis

MERAWAT ENDOMETRIOSIS

Bentuk rawatan yang paling invasif untuk endometriosis adalah histerektomi. Histerektomi adalah satu pembedahan untuk mengeluarkan rahim (bersama servik). Lebih daripada 100,000 wanita di Amerika Syarikat menjalani pembedahan histerektomi setiap tahun kerana endometriosis.

Walau bagaimanapun, histerektomi akan mengakibatkan satu keadaan serius terhadap keseksualan wanita, fungsi seksual, keupayaan untuk hamil dan kualiti hidup. Histerektomi dan pembuangan kedua-dua belah ovari juga menyebabkan gejala-gejala menopaus.

Bagi wanita muda mereka hendaklah menimbangkan histerektomi setelah mengkaji kaedah-kaedah lain untuk rawatan.

Pengambilan hormon secara suntikan atau pil mungkin dapat mengurangkan penghasilan tisu endometrium. Anda hanya dibenarkan mengambil hormon di atas arahan doktor sakit puan anda.

Ubat antiradang dapat melegakan kesakitan endometriosis, tetapi ia perlu diambil sebelum rasa sakit supaya ia boleh menghalang pengeluaran prostaglandins yang menghasilkan kesakitan. Ubat penahan sakit ini perlu diambil setiap enam jam. Bagaimanapun, pengambilan ubat ini dalam tempoh yang panjang boleh memberi komplikasi lain dan sila dapatkan nasihat doktor.

Akhir sekali, lakukan senaman yang teratur dan mendapat rehat yang secukupnya. Ini boleh membantu meningkatkan keseluruhan fungsi sistem imun dan akan membantu mengurangkan kesakitan daripada endometriosis.

Aktiviti fizikal boleh membebaskan hormon endorphins yang bertindak seperti ubat penahan sakit yang semula jadi dihasilkan oleh tubuh badan. Berehat dapat mengurangkan tekanan yang disebabkan oleh beban kerja dan faktor-faktor lain kerana tekanan boleh membawa kepada perubahan hormon dan meningkatkan tahap kesakitan.

Endometriosis bukan suatu perkara mudah untuk seseorang itu meneruskan kehidupan kerana ia boleh menyebabkan anda berasa kecewa dan sedih. Tetapi berfikirlah secara positif bahawa anda tidak berseorangan dan anda boleh berkongsi pengalaman anda dengan wanita lain.

Paling penting anda tidak perlu lagi mengalami sakit haid setiap bulan dengan cara berbincang dengan pakar sakit puan dan dapatkan pelbagai maklumat yang boleh membantu anda dalam meningkatkan kualiti hidup.