PERKHIDMATAN kaunter kerajaan yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan ditutup sepenuhnya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali bagaimanapun berkata, hanya tiga operasi dibenarkan iaitu perkhidmatan kesihatan; balai polis dan pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan urusan perkastaman, imigresen serta kuarantin.

Kata beliau, perkhidmatan kaunter kerajaan di seluruh negara ketika ini telah dibuka bermula sejak Khamis lalu sebagaimana arahan yang dikeluarkan pada 29 Jun 2021.

“Menteri Kanan Pertahanan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di mukim-mukim Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur bermula 3 Julai 2021 sehingga 16 Julai 2021.

“Selaras dengan arahan tersebut, prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian pejabat kerajaan semasa tempoh PKPD bagi kawasan terlibat akan mengguna pakai arahan pengoperasian pejabat kerajaan yang telah dikeluarkan pada 30 Mei lalu.

“Arahan ini terpakai kepada semua kawasan yang dilaksanakan PKPD,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Operasi kaunter pejabat kerajaan dibuka mulai Khamis ini

PKPD di Selangor membabitkan beberapa mukim di sembilan daerah iaitu daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Sementara itu, sebanyak 14 lokaliti di Kuala Lumpur turut diletakkan di bawah PKPD selama 14 hari mulai hari ini sehingga 16 Julai depan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk membuka kaunter perkhidmatan secara fizikal bermula Khamis lalu dengan mengikut SOP yang ditetapkan.

Dalam kenyataan itu, Mohd. Zuki berkata, pembukaan kaunter perkhidmatan secara fizikal itu hanya membabitkan perkhidmatan tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian.

Ia juga akan membabitkan kapasiti petugas kaunter tidak melebihi 50 peratus dan kehadiran secara fizikal hanya melalui temu janji berjadual.

“Selepas meneliti keperluan pembukaan kaunter perkhidmatan kerajaan yang mendesak berdasarkan maklum balas awam, maka kerajaan memutuskan pembukaan kaunter perkhidmatan kerajaan di seluruh negara akan beroperasi secara fizikal mulai 1 Julai ini.

“Ketua Jabatan hendaklah memastikan semua SOP COVID-19 dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi setiap masa.

“Ini bagi mengimbangi penyampaian perkhidmatan optimum kepada pelanggan dan pencegahan penularan wabak COVID-19 di tempat bertugas,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram