Selepas dua tahun terhenti siarannya, ruangan Di Celah-celah Kehidupan (DCCK) akan kembali menemui pembaca, setiap Ahad mulai esok, di segmen majalah Wanita.

Ya… tentunya ini berita gembira kepada para peminat DCCK, yang sudah lama ternanti-nanti coretan panas penulis ruangan tersebut, Maimunah Yusof, wartawan veteran Utusan.

Bayangkan, ruangan ini sudah berusia 41 tahun. Sejak artikel pertamanya disiarkan pada September 1979, DCCK menemui pembaca setiap Ahad tanpa henti di Mingguan Malaysia, sehinggalah Kumpulan Utusan Berhad menamatkan operasi dan akhbar-akhbarnya dihentikan penerbitan, pada Oktober 2019.

DCCK adalah ruangan lejen dan menjadi salah satu daya penarik pembaca membeli Mingguan Malaysia. Malah, ada pembaca yang membeli akhbar tersebut semata-mata kerana DCCK.

Salah satu kisah panas tulisan Maimunah Yusof dalam ruangan Dari Celah-celah Kehidupan. Artikel pertama DCCK disiarkan pada September 1979 dan sejak itu menjadi salah satu ruangan paling diminati di akhbar Mingguan Malaysia.

Sepanjang usianya, DCCK mengumpul peminat yang cukup ramai, terutamanya kaum wanita. Setiap minggu mereka menanti-nanti cerita pergolakan rumah tangga apa pula yang akan ditulis oleh Maimunah. Kisah panas, atau kisah sedih. Atau cerita yang menerbitkan insprasi. Semuanya kisah benar.

Ada yang menganggap DCCK ini pro-wanita dan anti-lelaki. Mana tidaknya, asyik hentam lelaki saja. Pembaca lelaki pun jadi panas dada, pedih sangat rasanya. Yang perempuan pula rasa seronok sangat kerana Maimunah dan DCCK seperti suara hati mereka, mewakili rasa marah, geram dan `angin’ wanita kepada segelintir lelaki.

Tapi DCCK tidak begitu. Ada waktunya Maimunah akan tulis pula kisah lelaki dan suami yang baik, sebaliknya wanita yang lakukan kesilapan dan mudah sangat lembik tengkuk  dipermain-mainkan lelaki.

Sayangnya, apabila Utusan menamatkan penerbitan semua akhbarnya mulai Oktober 2019, terhentilah juga DCCK. Terhentilah ruangan lejen yang menjadi kebanggaan Utusan dan salah satu kolum paling lama disiarkan oleh akhbar berkenaan.

Ada waktu DCCK kritik lelaki, ada waktu kritik wanita. Tetapi yang selalu kena lelakilah. Itu yang seronok baca.

Mengambil kira semua faktor tersebut, dan meneruskan legasinya, mulai esok UtusanTV akan menyiarkan kembali ruangan DCCK. Ia akan disiarkan setiap Ahad, di bawah segmen majalah Wanita.

Maka, esok akan menjadi ruangan pembukaan DCCK 2.0 di UtusanTV. Apakah kisah pertama yang akan dikongsi oleh Maimunah?

Jangan lupa, esok dan setiap Ahad di UtusanTV. DCCK, oleh Maimunah Yusof… masam, manis, pedas!

————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam