lawak jenaka hiburan islam

TV 10: Menayangkan sebuah drama komedi yang mengisahkan tentang seorang wanita kampung yang berhadapan dengan kejutan budaya setelah berhijrah ke kota. Dalam usahanya untuk menyesuaikan diri dengan corak kehidupan di bandar itu, maka berlakulah babak-babak komedi yang lucu ke atas wanita tersebut.

Akhirnya seorang jejaka kota yang tampan terpikat hati dengan ketulusan hati wanita kampung tersebut lalu berhasrat meminangnya. Sekali lagi berlaku pula babak-babak komedi antara jejaka tersebut dengan teman wanitanya itu.

TV 11: Menampilkan sebuah program realiti TV bagi mencari bakat-bakat baru dalam dunia lawak jenaka. Program yang bermula tepat jam 9.00 malam itu dimulakan dengan persembahan daripada kumpulan Tomek yang melakukan aksi dua orang penyelam di dasar laut yang ditugaskan untuk mencari harta karun.

Dengan aksi yang bersahaja dan menghiburkan, serta lawak yang kontemporari yang turut menyelitkan nilai-nilai kemanusiaan, para penonton, malah barisan juri juga dilihat ketawa terbahak-bahak dengan aksi yang dipersembahkan.

Itu baru dua buah rancangan daripada saluran televisyen percuma. Belum masuk lagi program daripada saluran televisyen berbayar. Kalau hendak dikira, jenuh rasanya jari-jemari untuk mengira jumlah program televisyen yang berbentuk komedi dan lawak jenaka.

Dari drama televisyen, filem, cerita animasi, sitkom hinggalah kepada telemovie, sketsa, program realiti TV, dan sebagainya, semuanya kalau boleh mahu dikomedikan. Kalau boleh, setiap rancangan mesti ada segmen komedi, dan kalau boleh elok juga jika pengacaranya terdiri daripada pelawak.

Semuanya itu dengan alasan untuk menghiburkan para penonton. Ironinya, bila para penonton, tidak kira lelaki, atau wanita, dewasa, mahupun kanak-kanak, ketawa tak kering gusi dengan lawak jenaka yang dihidangkan, maka mereka dikira terhibur dan bergembira dengan apa yang mereka saksikan.

Maka dengan keadaan yang sedemikian, para penonton tersebut dipercayai mampu melupakan buat seketika masalah rumah tangga yang menyerabutkan kepala, karenah kerja di pejabat, termasuk beban kerja yang semakin meningkat, dan sebagainya.

Lawak jenaka mampu mengurangkan risiko tekanan darah tinggi

Pendek kata, lawak jenaka sedikit sebanyak berfungsi mengurangkan risiko tekanan darah tinggi. Itulah fungsi lawak jenaka dan itulah juga tugas para pelawak dari dulu, kini, dan selamanya. Lalu bagi memenuhi tujuan tersebut, terdapat stesen televisyen yang menyediakan satu saluran khas untuk program yang berbentuk lawak jenaka.

Bukan setakat itu, diadakan pula anugerah pelawak terbaik dalam berbagai-bagai kategori, sebagai tambahan kepada anugerah-anugerah komedi yang sudah sekian lama dipertandingkan selama ini.

Lebih daripada itu, terdapat pula program lawak jenaka yang seolah-olah hanya khusus untuk golongan kanak-kanak sahaja. Pedulikan sama ada orang dewasa terhibur atau tidak dengan komedi yang ditampilkan, yang penting kanak-kanak yang melihat rancangan tersebut akan bergelak-ketawa sesama mereka beramai-ramai.

Persetankan sahaja jika ada pihak yang berpendapat komedi yang ditampilkan tidak lebih daripada lawak bodoh yang dibuat-buat dan kosong daripada mesej yang berguna. Yang penting, rancangan tersebut diminati kanak-kanak dan mendapat sambutan penonton.

Sambutan Aidilfitri baru-baru ini juga tidak terlepas daripada menampilkan barisan para pelawak bagi memeriahkan hari raya umat Islam tersebut.

Maka, selama lebih kurang seminggu, tidak kira siang atau malam, umat Islam di negara ini dihiburkan dengan lawak jenaka daripada para pelawak lama dan baru. Pendek kata, hiburan di hari raya ialah dengan mendengar lagu-lagu raya, dan menonton drama dan filem komedi, serta sitkom lawak jenaka.

Lalu, dengan sekian banyak lawak jenaka yang dilambakkan oleh stesen-stesen TV sekarang ini, timbul persoalan adakah hiburan itu ialah lawak jenaka, dan lawak jenaka itu ialah hiburan?

Memang mudah untuk menjawab “tidak”. Namun, apakah kriteria yang harus diguna pakai dalam hal ini?

Hiburan Islam

Merujuk kepada al-Quran, kriteria kepada semua bentuk hiburan ialah mengingati Allah S.W.T. sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d: 28

“… Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu akan menenangkan hati”

Islam juga mengajar kita supaya melancong ke tempat-tempat yang menarik yang boleh menimbulkan kekaguman kita kepada yang Maha Pencipta. Kerana itulah, apabila Rasulullah s.a.w. berdukacita dengan kematian dua individu utama yang menjadi tunjang dakwah Baginda, iaitu bapa saudaranya, Abi Talib dan isterinya Khadijah al-Khuwailid, Allah telah ‘memperjalankan’ Rasulullah s.a.w. sehingga ke Sidratul Muntaha dalam peristiwa Israk Mikraj bertujuan memperlihatkan Baginda kebesaran dan keagungan Allah sebagai Pencipta.

Manakala, dalam al-Quran pula Allah menggalakkan kita supaya melawat tempat-tempat yang bersejarah bagi mengingatkan kita pada kekuasaan dan kehebatan Allah dan balasan yang pernah menimpa umat yang ingkar kepada perintah Allah.

Firman Allah surah Ali Imran:137, 

… Maka melanconglah kamu di atas muka bumi ini, dan renungkanlah bagaimana balasan dan akibat yang pernah menimpa ke atas bangsa-bangsa yang pernah mendustakan (Allah dan rasul-rasul-Nya)”.

Oleh itu, segala bentuk hiburan, sama ada nyanyian, drama, filem, mahupun lawak jenaka mestilah menjurus mengingati Allah Taala. Termasuk dalam konteks mengingati Allah ialah memuji Rasulullah s.a.w. mengagumi, menghargai ciptaan Allah, dan mengajak orang ramai supaya mentaati perintah Allah.

Rasulullah s.a.w. sendiri pernah berjenaka dengan mengatakan syurga hanya milik orang muda. Namun, jenaka Baginda ini mengingatkan kita dengan nikmat syurga kepada orang-orang yang beriman.

Saya tidak menafikan terdapat sebahagian daripada barisan pelawak yang serius untuk mengubah wajah lawak jenaka di negara ini ke arah yang lebih berinformasi, dinamis, versatil, dan kritikal kepada para penonton.

Allah menggalakkan kita berjalan melawat tempat-tempat sejarah sebagai salah mengingati kebesaran Allah

Malah, itulah antara agenda yang ditekankan oleh otai-otai ini kepada pelawak-pelawak baru yang cuba dicungkil melalui program pencarian bakat baru dalam seni lawak jenaka. Maka, lahirlah beberapa nama yang dilihat mempunyai cara dan gaya yang tersendiri yang menambahkan lagi warna-warni lawak jenaka di negara ini.

Namun, ada kalanya mereka ini seolah-olah seperti kekeringan idea setelah berjaya mencipta nama sebagai selebriti. Mungkin kerana terlalu mengejar tawaran berlakon drama dan filem, menjadi pengacara, dan model iklan, barisan pelawak baru negara ini tidak mempunyai masa untuk duduk berfikir mencari idea baru yang lebih bernas dan berkesan ke atas para penonton.

Inilah cabaran pertama yang harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum kita berfikir dan merancang agenda yang lebih serius, iaitu melahirkan barisan pelawak yang lebih islamik. Wallahu a’lam

Oleh: Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

___________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram