Penyokong England menyimpan impian besar melihat pasukan negara mereka menamatkan kemarau kejohanan utama dunia setelah kali terakhir memenangi Piala Dunia 1966./ Gambar FB rasmi EURO 2020.

Oleh: Syed Saggaf

BERSEMPENA Kejuaraan Piala Eropah 1996 dengan England sebagai tuan rumah, lagu tema berjudul “Three Lions” telah menjadi nyanyian hampir seluruh peminat bola sepak bukan sahaja di England, bahkan di seluruh dunia.

Di antara bait-bait lagu tersebut adalah “It’s coming home” ataupun “Ia akan pulang”.

Ia sangat simbolik kerana kali terakhir England mengacarakan temasya besar bola sepak sebelum itu adalah Piala Dunia 1966 dengan mereka juga telah menjuarai kejohanan tersebut.

Semua peminat menjangkakan tahun 1996 akan menjadi tahun mereka mengakhiri penantian 30 tahun untuk bergelar juara di dalam pertandingan besar bola sepak.

Pada tahun itu, England diketuai oleh legenda Arsenal, Tony Adams dan dibintangi oleh pemain-pemain terkemuka seperti Alan Shearer, Teddy Sheringham, Paul Ince serta pemain legenda England, Paul Gascoigne.

Perjalanan England pada tahun itu terhenti di peringkat separuh akhir apabila Jerman telah berjaya menumpaskan mereka dalam sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat permainan.

Southgate diingati kerana kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti pada aksi separih akhir Euro 96.

Ironinya, pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada ketika itu adalah ketua jurulatih England hari ini, iaitu Gareth Southgate.

Skuad England hari ini yang diketuai oleh Harry Kane telah menunjukkan prestasi cemerlang setakat ini. Dengan empat kemenangan dan satu seri sepanjang kejohanan ini, disamping menjaringkan lapan gol dan pintu gol tidak pernah dibolosi lagi, mereka mempamerkan peningkatan yang baik dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.

Jack Grealish sangat popular dalam penyokong England dan mampu menjadi bintang kejohanan jika diberi kepercayaan oleh Gareth Southgate untuk membarisi kesebelasan utama.

Apa yang penting dalam sebarang kejohanan peringkat antarabangsa adalah mengawal prestasi pasukan mengharungi beberapa perlawanan di dalam waktu yang singkat dan juga mempastikan pasukan tidak mencapai prestasi puncak terlalu awal.

Setakat ini, England menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan dari perlawanan pertama hingga ke perlawanan suku akhir semalam menentang Ukraine dengan mereka menjaringkan empat gol.

Mereka hanya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan dan seterusnya berjaya menjaringkan dua gol di pusingan 16 ketika menundukkan pasukan Jerman.

Jika kita tengok peningkatan ini, England masih berupaya untuk terus melakukan peningkatan dalam perlawanan perlawanan akan datang.

Generasi pemain England hari ini secara purata berumur 25 tahun dengan hanya Jordan Henderson, Kyle Walker dan Kieran Trippier berumur 30 tahun ke atas. Separuh daripada skuad hari ini malah belum lahir pada tahun 1996 ketika England menjadi tuan rumah.

Secara teknikal, ini adalah pasukan yang masih muda dan mempunyai banyak ruang untuk terus memperbaiki diri untuk maju ke hadapan.

Baca artikel berkaitan: Suku akhir, Jerman dan Euro 96, Southgate tak boleh tewas

Skuad England kali ini dibarisi ramai pemain muda berbakat termasuk Bukayo Saka dan Jude Bellingham yang belum pun mencecah usia 20 tahun..

Setelah berjaya ke separuh akhir Piala Dunia 2018, hari ini mereka melangkah kaki ke satu lagi peringkat separuh akhir.

Hari ini, 25 tahun selepas Euro 1996, peminat England sekali lagi optimis dengan peluang untuk mengakhiri penantian 55 tahun mengejar piala.

Mereka kini hanya perlu mengharungi dua lagi perlawanan untuk memastikan bola sepak benar-benar kembali ke England tahun ini!

Penulis ialah ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas yang meminati sukan bola sepak.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram