Kasut tumit tinggi lazimnya adalah fesyen pemakaian wanita. Tetapi ramai tidak tahu bahawa kasut tumit tinggi yang dipakai wanita pada hari ini asal usulnya dicipta untuk golongan lelaki.

Suatu masa dahulu, kasut merupakan aksesori penting bagi kaum lelaki. Di Eropah, pada kurun ke-12, lelaki memakai kasut yang dipanggil crackows atau poulaine – kasut yang berbentuk tajam di hujungnya dengan tapak tebal.

Golongan orang kaya pula memakai kasut yang panjangnya sehingga 60 sentimeter, sedangkan rakyat biasa memakai kasut sepanjang 15 sentimeter sahaja.

Kasut yang tajam di hujungnya popular pada kurun ke-12.

Kasut-kasut ini dibuat daripada kulit lembut, jadi terompah kayu yang dipanggil pattens dipasang di bawah kasut-kasut tersebut bagi melindunginya.

Gaya kasut seterusnya mula berubah dari zaman ke satu zaman. Kasut tumit tinggi mula diperkenalkan pada akhir kurun ke-16.

Ia mula dipopularkan oleh seorang raja Perancis iaitu, Louis XIV. Beliau sebenarnya seorang raja yang mempunyai susuk tubuh pendek tetapi mahukan ketinggian bagi menjadi lebih yakin dan berwibawa apabila muncul di hadapan rakyat. Oleh itu, Louis telah mengarahkan tukang kasutnya mencipta kasut tumit tinggi.

Raja Louis XIV mula mempopularkan pemakaian kasut tumit tinggi yang kemudian jadi ikutan.

Dikatakan Louis XIV memakai kasut bertumit setinggi 4 inci seperti yang terdapat pada potret yang dirakam dalam tahun 1701. Ia menjadi trademark kepada pemerintah ini sehingga gayanya menjadi ikutan kepada golongan kaya.

Pada zaman itu, lelaki bangsawan memakai kasut bertumit bagi menunjukkan status mereka yang lebih tinggi daripada rakyat biasa. Dikatakan juga, bagi menunjukkan status mulia, bahagian tumit kasut dicat dengan warna merah.  

Sehingga sekarang kasut tumit tinggi berlekuk dipanggil tumit Perancis atau Louis. Kasut jenis ini mempunyai bahagian jari kaki berbentuk empat segi dengan lidah panjang, dikancingkan dengan gancunya atau reben besar.

Pada kurun ke-18, tukang kasut mula menggunakan kulit yang lebih keras dalam pembuatan kasut terutamanya but yang bertumit tinggi dengan bahagian hujung yang tajam.

Seterusnya pertengahan kurun ke-19, kasut mula dibuat secara besar-besaran menjadikan ia lebih murah untuk dimiliki oleh orang ramai.

_________________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam