PADA zaman dahulu, hidup sepasang suami isteri petani bernama Ki Pasir dan Nyai Pasir. Mereka hidup bahagia walaupun tidak dikurniakan anak.

Suatu hari, Ki Pasir duduk melepas lelah setelah mencangkul di sawah. Dia bersandar pada sebatang pohon besar di pinggir sawah. Tiba-tiba tangannya meraba sesuatu yang bulat dan licin. Dilihatnya ada sebutir telur yang lebih besar daripada telur angsa.

“Telur apa ini?” kata Ki Pasir sambil menatap telur aneh itu yang saiznya tiga kali lebih besar daripada telur angsa.

Bila teringat yang dirumahnya sudah ketiadaan lauk, dia membawa telur itu pulang.

“Telur apa ni Ki?” tanya isterinya yang juga hairan melihat telur aneh itu.

“Entahlah Nyai. Apa pun perut ku sudah lapar. Aku mahu makan sekarang.”

Lalu si isteri memasak telur itu dan menghidangkannya di meja makan. Jadilah telur tersebut sebagai lauk pauk mereka hari itu.

Setelah selesai menjamu selera mereka berdua berehat dan tertidur. Sekitar tengah malam, Nyai Pasir terbangun kerana tubuhnya berasa panas dan gatal-gatal. Di dapati suaminya tiada di sebelahnya.

Nyai Pasir mencari suaminya serata ceruk rumah namun tidak kelihatan.

“Tolong aku Nyai!” tiba-tiba terdengar suara jeritan suaminya dari halaman rumah mereka. Rupa-rupanya Ki Pasir juga merasakan panas dan gatal akibat makan telur aneh itu.

Nyai Pasir menghampiri suaminya ingin membantu, tetapi dia juga tidak kuat menahan rasa panas dan gatal di sekujur tubuhnya. Nyai Pasir pun menjatuhkan diri di tanah dan berguling-guling seperti Ki Pasir.

Mereka berdua terus bergulingan di tanah hingga membentuk lubang yang makin lebar dan dalam. Kemudian dari dalam lubang itu terpancarlah air sehingga membentuk sebuah danau.

Ki Pasir dan Nyai Pasir tenggelam di dalam danau itu. Lalu menjelmalah sepasang naga yang menakutkan.

Cantik danau ini. Danau ini popular dengan kisah rakyat tentang sepasang suami isteri yang memakan telur aneh lalu tempat mereka berguling itu terpancar air membentuk danau ini.

Begitulah kisah legenda masyarakat setempat tentang kisah suami isteri yang telah disumpah menjadi naga. Kononnya naga itu masih ada di danau itu yang dikenali sebagai Telaga Pasir.

Telaga Pasir juga dikenali sebagai Telaga Sarangan, sebuah tempat pelancongan popular yang terletak di lereng Gunung Lawu di Magetan, Jawa Timur, Indonesia.

Danau ini popular kerana keindahan tasik dan alam semula jadinya serta menjadi tumpuan pelancong.

Ia menjadi tumpuan pelancong dengan tasik dan alam semula jadi yang cantik dan berkabus. Mungkinkah naga itu ada di sebalik Telaga Pasir?

Sebenarnya, kisah-kisah mitos dan legenda begini mempunyai tarikan tersendiri, terutama dalam menggamit kedatangan pelancong yang membantu ekonomi penduduk setempat. Setiap tempat tidak kira di timur atau barat mempunyai kisah-kisah rakyat atau legenda tersendiri.

Telaga Pasir atau Telaga Sarangan di kaki pergunungan Lawu di Jawa Timur, Indonesia.

_______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam