Pesawat tentera Filipina terhempas dan terbakar selepas terbabas dari landasan dalam satu kejadian di selatan negara ini, hari ini.

SEKURANG-KURANGNYA 29 orang maut terbunuh manakala 50 lagi cedera apabila sebuah pesawat tentera Filipina terhempas dan terbakar selepas terbabas dari landasan dalam satu kejadian di selatan negara ini, hari ini.

Sebanyak 17 penumpang lagi dilaporkan masih hilang.

Channel News Asia melaporkan, sebanyak 96 orang kebanyakannya graduan tentera berada dalam pesawat Hercules C-130 sebelum pesawat itu terhempas ketika cuba mendarat di Jolo, wilayah Sulu tengah hari ini.

“Setakat ini, sebanyak 50 orang yang cedera diselamatkan dan sebanyak 29 mayat ditemukan,” kata Menteri Pertahanan, Delfin Lorenzana.

Gambar diambil oleh stesen Pondohan TV menunjukkan bangkai pesawat dijilat api yang menghasilkan asap tebal di lokasi kejadian.

Panglima Tentera Filipina, Jeneral Cirilito Sobejana berkata, pesawat itu membawa askar dari Cagayan de Oro di selatan Pulau Mindanao dan terbabas dari landasan semasa cuba mendarat di Jolo.

“Pesawat itu cuba mendapatkan semula kuasa namun gagal berbuat demikian,” tambahnya yang menyifatkan nahas berkenaan sebagai ‘amat tidak bernasib baik’.

Sobejana memberitahu, sebanyak 40 mangsa yang diselamatkan sedang mendapatkan rawatan di hospital Infantri Divisyen ke-11 tidak jauh dari lokasi nahas.

Jurucakap tentera udara, Leftenan Kolonel Maynard Mariano berkata, pihaknya akan menyiasat punca nahas pesawat itu.

“Kami dalam misi menyelamat sekarang,” kata Mariano kepada AFP.

Sebahagian mangsa adalah pelajar yang lulus latihan asas ketenteraan dan sedang dikerahkan ke pulau yang bergolak sebagai sebahagian daripada pasukan petugas bersama memerangi keganasan di wilayah majoriti Muslim.

Tentera Filipina sedang dalam proses memerangi keganasan militan didalangi Abu Sayyaf di Kepulauan itu.

Pesawat C-130 sering digunakan untuk mengangkut pasukan dan bekalan selainmenyampaikan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.