Setiausaha Politik Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis berhubung dakwaan Lokman Noor Adam di IPD Dang Wangi hari ini./ Gambar FB Syed Fazmi

SETIAUSAHA Politik Menteri Kanan (Keselamatan) membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam susulan penyebaran video yang memfitnah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 2.30 petang tadi selepas meneliti video berdurasi satu jam 42 saat ketika berada sekitar PWTC kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Menurut Syed Mohd Fazmi, video yang dimuat naik menerusi laman Facebook Lokman Adam itu mendakwa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO cuba meyakinkan Ahli Parlimen UMNO untuk menjadi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya tidak dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Setelah meneliti isi kandungan video itu saya dapati dengan jelas pemilik akaun Facebook tersebut membuat fitnah dan hasutan terhadap Ismail Sabri bermula minit ketiga sehingga akhir video,” katanya.

Syed Mohd Fazmi berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis itu.

Menurutnya, siasatan perlu dilakukan terhadap Lokman mengikut akta-akta berkaitan dengan fitnah iaitu Akta Hasutan 1948 , Akta Anti Berita Tidak Benar (Akta 803) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia1998 kerana membuat tuduhan terbuka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram