kedekut beri sedekah

Allah S.W.T. sangat suka kepada hamba-Nya yang bersedekah untuk membantu orang yang susah. Namun ada ketikanya tindakan bersedekah ini memberi mudarat pula kepada pemberi sedekah.

Contohnya ketika kita hanya mampu memberi sedekah kepada seorang yang memerlukan sahaja, tetapi dengan asbab baik hati tadi, ramai pula yang datang meminta-minta. Hingga akhirnya kita pula yang menjadi papa.

Melihat kepada keadaan ini bolehkah jika kita tidak membantu dan bersifat kedekut? Menurut Khairil Khuzairi Omar, Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, sebelum mendalami perbincangan ini perlu difahami dahulu bahawa kedekut atau bakhil merupakan perumpaan dari orang Melayu bagi menggambarkan seseorang yang agak payah mengeluarkan belanja untuk tujuan-tujuan tertentu kerana sayangkan harta dan wang. Bukan tiada duit, tetapi sayang dan takut habis duitnya.

Dalam hal ini, Baginda s.a.w. melarang keras perbuatan tersebut kerana itu merupakan sifat yang terkeji. Dengan bersikap bakhil akan menyebebabkan berlakunya ketirisan dan tiada pembelaan terhadap individu lain, sedangkan dalam Islam kita perlu saling membantu.

Boleh kedekut

Namun dalam situasi yang berlaku di atas, kita sebenarnya dibolehkan untuk kedekut. Dalam hal ini, ia memang berlaku pada sesiapa sahaja. Hendak memberi pada seorang, tetapi 20 orang yang datang serbu.

Ini secara tidak langsung menjadi sesuatu yang membebankan. Sedangkan sedekah perlu dihulurkan dengan seikhlas hati dan bukan sehingga memberi kesusahan pada diri.

Jika dilihat keadaan yang berlaku, seolahnya ia telah menjadi satu budaya. Setiap tempat ada sahaja orang yang meminta sedekah dengan berbagai ragam dan gaya. terutama dalam keadaan mendesak hari ini. Sampai kepada satu tahap, kita dipaksa-paksa pula untuk memberi sedekah hingga tidak menjadi amal soleh.

Sedangkan memberi ini kena ada sifat ikhlas dan bukan terpaksa. Jika ada kemampuan, beri, tetapi jika tidak mampu, ucaplah maaf dengan cara yang elok.

Malah jika keadaan sesuatu tempat itu tidak terjamin keselamatan untuk menderma, maka lebih elok bersifat kedekut. Bukan kerana tidak simpati tetapi dengan tujuan untuk berhati-hati.

Sedekah adalah amalan terbaik namun ada hadnya untuk bersedekah.

Begitu juga dengan urusan meminta derma atau berjual beli. Kadang-kadang ketika sedang makan di restoran, tiba-tiba didatangi dengan peminta derma atau penjual yang seboleh mungkin menyuruh kita membeli barangan mereka.

Hingga satu tahap dimarahnya pula jika tidak membeli atau menderma. Ini juga satu masalah yang kerap berlaku di persekitaran kita.

Oleh itu, kita juga boleh untuk kedekut dengan tidak memberi atau membelinya, kerana tidak mahu menyuburkan amalan meminta-minta. Bahkan untuk urusan jual beli seharusnya kena ada sifat reda meredai antara si penjual dan pembeli.

Tunaikan hak si miskin

Fitrahnya orang kaya atau pemerintah membantu yang miskin kerana itu merupakan hak yang perlu dilakukan oleh mereka terhadap orang yang memerlukan. Sebaliknya apabila mereka tidak menunaikan hak untuk si miskin, akan berlakulah satu implikasi yang besar terhadap institusi masyarakat dan negara, seperti pemberontakan, rasa benci kepada golongan kaya dan penguasa, marah, dendam dan sebagainya. Bukankah ini akan merosakkan hubungan sesama manusia.

Kenapa perlu ada sifat bakhil? Sedangkan harta yang dimiliki itu bukankah semuanya milik Allah, yang dipinjamkan untuk sementara waktu.

Hatta termasuk juga dengan ilmu, tenaga, masa, dan sebagainya. Lagipun harta yang banyak tidak akan dibawa masuk ke kubur. Baginda juga ada mengatakan yang mengikut jenazah ke kubur itu ada tiga perkara iaitu kaum keluarga, harta benda dan amalan di dunia.

Apa yang ditinggalkan di dunia hanya dua iaitu keluarga dan harta. Tetapi amalan di dunia yang akan dibawa bersamanya ke dalam kubur.

Mungkin mereka tidak sedar ini semua milik Allah. Bila-bila masa sahaja boleh diambil. Oleh itu ia perlu diserahkan pada yang hak. Sememangnya duit tidak bermanfaat di dalam kubur. Ia perlu diserahkan pada orang lain.

Sebagai pemimpim, penguasa dan orang kaya, bantulah mereka yang memerlukan.

Ingatlah, harta tidak bermanfaat melainkan digunakan untuk jalan-jalan Allah seperti derma, jihad, pembangunan umat Islam, menanggung nafkah isteri dan anak-anak serta lain-lain lagi. Maka itu, orang yang berharta perlu menunaikan tanggungjawabnya terhadap yang memerlukan.

Sebenarnya keutamaan sedekah adalah keluarga, seperti isteri dan anak-anak sama ada memberikan pendidikan dan keperluan hidup yang sewajarnya. Selepas keperluan keluarga dipenuhi, dan ada kemampuan lain, barulah berkongsi dengan orang-orang lain mengikut tertib yang paling hampir dengannya.

Dengan berkongsi harta juga menjadikan manusia bersikap tidak meminta-minta kerana kesempurnaan hak mereka dipenuhi.

Manfaatkan pemberian

Oleh itu dalam konteks boleh atau tidak berkedekut, ada tempat yang boleh dan ada yang tidak boleh. Bermakna kita hendaklah maklum pemberian tersebut memberi manfaat pada si penerima atau tidak.

Jika dengan pemberian tersebut menjadikan si penerima bersikap boros, atau pada jalan yang salah, atau untuk menzalimi sesama manusia lain, atau tahu dia akan salah guna untuk tujuan tidak bermanfaat atau juga untuk berpoya-poya, maka ia boleh bersikap kedekut.

Seperti juga anak sekolah, beri satu ringgit sudah mencukupi untuk keperluannya sehari. Namun jika dia meminta lebih untuk membeli barang-barang yang tidak bermanfaat, kita boleh berkedekut.

Beri mengikut kemampuan kita dan kemampuan mereka berbelanja. Itu yang lebih digalakkan. Wallahu a’lam

_________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram