Di sebalik hak ibu bapa dalam pemilihan jodoh anak, satu persoalan sejauh mana hak ini digunakan selaras dengan kehendak syariat dan penerimaan anak mereka sendiri.

Satu konsep yang perlu difahami oleh kedua-dua pihak iaitu ibu bapa sepatutnya tidak memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang tidak disukai anak tetapi pada masa yang sama juga anak tidak boleh memaksa ibu bapa menerima calon menantu yang tidak disukai mereka.

Apa yang penting ialah soal pemilihan calon suami memerlukan suka dan reda kedua-dua belah supaya tiada masalah dalam komunikasi selepas berkahwin.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu dan membimbing anak dalam melayari bahtera rumahtangga. Anak pula perlu berusaha membina dan menyuburkan hubungan dua keluarga kerana perkahwinan bukan setakat membina hubungan suami isteri, malah untuk memantapkan ukhuwwah di antara dua keluarga.

Jika krisis atau konflik timbul terutama apabila ibu bapa tidak setuju dengan pilihan anak maka jalan terbaik ialah perbincangan secara berhikmah dan berhemah untuk mencapai restu dan reda ibu bapa. Bukan ‘kahwin lari’ atau memutuskan hubungan kedua-dua keluarga.

Apatah lagi bila ia banyak mengundang malu dan marah di pihak ibu bapa. Sekiranya perbincangan dengan ibu bapa kurang berhasil maka jalan terbaik ialah menurut sahaja kata mereka bila calon pasangan terdiri daripada orang yang baik mengikut pandangan syariat kerana insya-Allah perasaan kasih dan cinta akan datang selepas berkahwin melalui doa ibu bapa.

Selain daripada itu, ibu bapa juga tidak seharusnya menggunakan hak pemilihan jodoh anak semata-mata untuk kepentingan diri sendiri, melalui kekayaan dan status bakal menantu yang boleh dimegah-megah terutama semasa majlis perkahwinan. Tiada maknanya rupa paras, harta dan pangkat sekiranya tuntutan agama diabaikan dan bagaimana pula hendak membimbing isteri selepas perkahwinan.

Paling menyedihkan ada segelintir ibu bapa yang tergamak menetapkan mas kahwin dan hantaran tinggi semata-mata untuk mengadakan majlis perkahwinan anak yang gilang- gemilang tanpa mengambil kira soal saranan utama syariat dalam pemilihan jodoh dan kemampuan bakal menantu.

Alangkah baiknya jika bakal menantu selain elok rupa paras, berpangkat dan berharta, tinggi pula takwanya kepada Allah, maka satu bonuslah kepada anak dan ibu bapa sebagai menantu mithali.

Islam menyarankan dalam soal pemilihan jodoh ialah dari kalangan yang baik, berpegang teguh kepada agama, menjaga maruah diri dan cantik akhlaknya. Syariat mengungkap lelaki baik untuk wanita yang baik, dan begitu juga sebaliknya.

Konsep inilah yang perlu difahami oleh ibu bapa dalam memilih menantu dan anak-anak dalam memilih pasangan kerana hadis Nabi bila Rasulullah berpesan, maksudnya, “Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara, kecantikan, keturunan, harta dan agamanya. Maka, pilihlah yang beragama, nescaya tangan engkau akan subur (berkat/selamatlah kamu)”.

CIRI-CIRI UTAMA CALON ISTERI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

❐ Beriman dan solehah/berpegang teguh kepada agama

❐ Elok rupa paras supaya tenang mata memandang

❐ Memiliki akhlak terpuji

❐ Mas kahwin yang rendah

❐ Subur supaya boleh melahirkan zuriat ramai yang soleh/solehah

❐ Masih dara

❐ Keturunan baik untuk melahirkan generasi bertakwa

❐ Datang dari keluarga yang sederhana (qana’ah) bukan pentingkan kebendaan

❐ Bukan kaum kerabat atau saudara terdekat kerana boleh menjejaskan kesuburan

❐ Tidak lebih dari satu kerana risiko isteri curang disebabkan kesunyian sekiranya suami berpoligami dan gagal bersifat adil

CIRI-CIRI UTAMA CALON SUAMI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

❐ Beriman dan bertakwa

❐ Bertanggungjawab supaya boleh memimpin keluarga

❐ Memiliki akhlak terpuji

❐ Memiliki/memahami ilmu agama supaya boleh bimbing isteri

❐ Tidak berpenyakit

❐ Rajin usaha

❐ Sekufu dan sesuai/serasi menurut panda- ngan Islam dan adat/’urf/pandangan masya- rakat umum (kadang-kadang berbeza men- gikut tempat/masa/zaman/keadaan/adat kebiasaan masyarakat)