PADA tahun 1724 di Barbados (sebuah negara yang terletak dalam gugusan kepulauan laut Kribia), seorang lelaki bernama James Elliot telah membina sebuah bilik makam di bawah tanah.

Bilik makam itu agak luas, mampu memuatkan beberapa buah keranda dalam satu-satu masa. Pintu makam itu diperbuat daripada batu marmar yang besar dan berat sehingga memerlukan tenaga tujuh orang lelaki untuk mengangkatnya.

Setelah keranda dimasukkan, pintu marmar itu ditutup sebelum disimen rapi di sekelilingnya. Ia menjadikan pintu itu sukar dibuka. Jika ada kematian lagi, simen pintu itu harus dikikis terlebih dahulu sebelum pintu itu dapat dibuka untuk memasukkan keranda yang baru.

Keranda pertama berisi mayat wanita bernama Thomasina Goddard yang dimasukkan pada Julai 1807.

Tidak lama kemudian, Thomas Chase telah membeli bilik makam itu. Mereka merupakan keluarga kelas atasan dan dikenali di Barbados. Kerana itu, kawasan makam itu dinamakan sebagai Chase Vault, yang bermaksud makam ahli keluarga Chase.

Bilik bawah tanah makam Chase Vault.

Pada Februari 1808, anak bongsu Thomas iaitu Mary Ann Chase yang berusia dua tahun meninggal dunia. Mayatnya dimuatkan dalam sebuah keranda yang diperbuat daripada timah dan dimasukkan ke dalam makam Chase Vault. Peti keranda Mary diletakkan bersebelahan dengan keranda kayu Thomasina Goddard. Pintu makam ditutup dan disimen rapi semula.

Lima tahun kemudian, Dorcas Chase yang juga anak Thomas pula meninggal. Pintu makam Chase Vault dibuka lagi dan keranda timah Dorcas dimasukkan, bersebelahan dengan keranda adiknya, Mary.

Tidak lama kemudian pemilik makam itu, Thomas Chase pula meninggal. Mayatnya diletakkan dalam peti timah yang besar dan paling berat, melebihi 100 kilogram.

Pintu Chase Vault dibuka semula untuk memasukkan keranda Thomas. Di sinilah bermulanya kisah misteri makam ini.

Ahli keluarga Chase terkejut apabila mendapati keranda di dalam makam itu sudah berterabur kedudukannya, tidak lagi tersusun pada posisi asal. Hanya keranda kayu Goddard yang masih tetap pada posisinya.  

Keluarga Chase begitu marah kerana menyangka ada penjarah yang telah mencuri masuk ke dalam makam tersebut. Tetapi setelah diperiksa, tiada apa pun yang hilang dari dalam makam itu, malah kesan jejak si penjarah juga tidak ditemui.

Semua keranda-keranda itu kembali disusun pada posisi asalnya, termasuk keranda Thomas. Sekali lagi, pintu makam yang berat itu ditutup dan disimen rapi.

Empat tahun kemudian, pada tahun 1816, Chase Vault dibuka semula untuk menempatkan jenazah Charles Brewster. Sekali lagi keluarga Chase terkejut kerana keranda-keranda di dalam itu sudah berubah daripada posisi asal kecuali keranda Goddard.

Petugas makam terpaksa menyusun semula keranda-keranda itu pada kedudukan asal. Yang paling sukar adalah keranda Thomas yang paling berat, memerlukan tenaga lapan lelaki untuk mengalihnya ke posisi asal. Sekali lagi, pintu makam ditutup rapi.

Kedudukan keranda pada posisi asal (kiri) dan bila makam itu dibuka, kedudukan kerana berterabur (kanan), kecuali kerana kayu Goddard yang masih pada posisi asal.

Dua bulan kemudian, pintu Chase Vault dibuka lagi untuk menerima keranda berisi jenazah Samuel Brewster. Dan mereka masih dikejutkan dengan posisi keranda-keranda yang sudah berantakan daripada kedudukan asal. Hanya peti keranda kayu Goddard yang masih terus utuh di tempat asalnya. 

Sekali lagi keranda-keranda itu disusun. Pintu Chase Vault ditutup semula dengan keanehan yang masih belum terungkai. Tiga tahun kemudian, pintu makam dibuka lagi untuk menempatkan keranda Thomasina Clark.

Sama seperti sebelumnya, semua posisi keranda di dalam makam itu telah beralih arah kecuali keranda Goddard.

Kejadian aneh itu menarik perhatian gabenor Barbados yang mengarahkan siasatan dilakukan terhadap makam tersebut. Tetapi, tiada tanda yang menunjukkan ada orang telah memecah masuk ke dalamnya. Tiada laluan tersembunyi dan tiada kesan jejak manusia di dalam makam itu.

Peti-peti keranda itu disusun semula. Kemudian, pasir halus ditaburkan di seluruh lantai makam untuk tujuan mengesan jika ada penjarah yang masuk setelah makam itu ditutup nanti. Pintu Chase Vault ditutup rapi sekali lagi.

Bahagian dalam bilik makam Chase Vault dan tangga untuk keluar.

Lapan bulan kemudian, pintu Chase Vault kembali dibuka. Bukan untuk menempatkan jenazah baru, tetapi atas arahan gabenor yang mahu melihat keadaan di dalam makam itu semula.

Misteri yang sama masih berlaku. Kesemua keranda telah beralih kedudukan kecuali keranda Goddard. Anehnya, pasir di atas lantai makam kelihatan sama seperti sebelumnya, tiada sebarang kesan jejak kaki.

Bagaimana keranda-keranda itu boleh berubah posisinya? Itulah misteri yang belum terungkai  dan terus menjadi tanda tanya.

Ada yang mengatakan mungkin ia disebabkan gempa bumi yang kemudian telah menggeser kedudukan keranda tersebut. Namun dalam jarak waktu itu, tiada gempa yang dicatatkan berlaku di Barbados. Dan bagaimana pula keranda pertama kepunyaan Thomasina Goddard menjadi satu-satunya keranda yang yang tidak pernah beralih dari kedudukan asal?

Oleh kerana siasatan yang dilakukan terhadap misteri ini gagal mendapat sebarang jawapan, keluarga Chase sepakat untuk tidak lagi menggunakan makam tersebut. Kesemua keranda di dalam makam itu di bawa keluar dan disemadikan di tempat lain. Akhirnya, Chase Vault dibiarkan kosong tidak berpenghuni.

Makam Chase Vault tidak lagi digunakan selepas misteri keranda bergerak sendiri dan beralih kedudukan tidak dapat dirungkai.

________________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam