cidb
Penguatkuasa CIDB menampal Notis Larangan Memulakan Dan Meneruskan Kerja-Kerja Pembinaan keatas tapak bina yang didapati melanggar SOP MKN PKP 3.0 sambil diperhatikan oleh Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Zainora Zainal - Gambar FB CIDB

SEBANYAK 188 tapak pembinaan atau 23 peratus yang beroperasi semasa Fasa 1 Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini telah diarahkan tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), jumlah itu dikesan daripada 4,208 pemeriksaan tapak pembinaan yang telah dijalankan di seluruh negara mulai 1 Jun sehingga semalam.

Kata CIDB, pemeriksaan itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

CIDB memaklumkan, hanya 19 peratus atau 810 daripada keseluruhan pemeriksaan itu didapati beroperasi manakala 3,398 tapak pembinaan lagi tidak beroperasi.

“Daripada 810 tapak yang beroperasi didapati 188 atau 23 peratus tidak mematuhi SOP dan 622 lagi mematuhi SOP.

“Kesemua tapak pembinaan tidak mematuhi SOP itu telah diarah tutup serta-merta.

“Bagaimanapun, 42 daripada tapak pembinaan yang pernah diarah tutup telah pun dibenarkan dibuka semula selepas mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, CIDB memberitahu, sebanyak 56 tapak pembinaan yang tidak mematuhi SOP itu terletak di Sarawak diikuti 42 di Selangor dan 15 di Melaka.

Baca artikel berkaitan: Ingkar SOP, dua tapak pembinaan diarah henti operasi – CIDB

Selain itu, CIDB berkata, sebanyak 11 lagi tapak pembinaan terletak di Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Sembilan tapak pembinaan di Johor, lapan di Negeri Sembilan, enam di Terengganu dan Pahang; lima (Perak); tiga (Kedah dan Perlis) serta dua lagi di Kelantan.

“42 tapak pembinaan yang dibuka semula masing-masing 12 di Sarawak; sembilan di Selangor; tujuh di Melaka; empat di Terengganu; tiga di Perak; dua di Kuala Lumpur dan Johor serta satu di Kedah, Kelantan dan Sabah,” jelas CIDB lagi.

CIDB turut mengingatkan penggiat industri pembinaan supaya terus mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang boleh dimuat turun di laman web www.cidb.gov.my.

Katanya, CIDB boleh menutup tapak pembinaan yang didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Mana-mana kontraktor yang melanggar peruntukan Akta 520 dan atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain termasuk Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) boleh dibawa ke prosiding tindakan tatatertib kontraktor.

“Antara tindakan yang boleh dikenakan adalah penalti tidak melebihi RM500,000 dan/atau penggantungan dan/atau pembatalan Perakuan Pendaftaran Kontraktor,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram