dusun
PIHAK berkuasa terpaksa membaiki jambatan yang dirobohkan pekebun durian haram. - Gambar HARIAN METRO

SETELAH gagal menghalang penguat kuasa dengan meletakkan kenderaan pacuan empat roda yang tayarnya dibocorkan di laluan masuk dan keluar, pekebun durian haram di Hutan Simpan Batu Talam, Raub, Pahang menggunakan helah lain pula.

Mereka sanggup merobohkan empat jambatan simen di laluan masuk dan keluar bagi melenggahkan sebarang kenderaan penguat kuasa dari melakukan operasi memusnahkan kebun haram di kawasan tersebut.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, dua halangan yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan operasi musnah semalam tidak dapat diteruskan seperti dirancang.

Tindakan yang dipercayai dilakukan pekebun haram itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil masa panjang untuk membaiki jambatan berkenaan dan kemudiannya memasuki kawasan dusun durian Musang King di kawasan seluas kira-kira 101 hektar itu.

Nor Azirim berkata, penguat kuasa yang terbabit tiba di lokasi agak lewat berikutan terpaksa membaiki jambatan dengan cara mengangkat semula dua lantai simen jambatan yang dijatuhkan ke dalam anak sungai.

BERITA BERKAITAN 18 pekebun durian ditahan ceroboh hutan simpan, provokasi melampau anggota penguatkuasa

Memetik laporan Harian Metro, anggota terbabit terpaksa mengikat menggunakan tali dan mengangkat secara secara beramai-ramai.

“Operasi turut membabitkan kakitangan Unit Penguatkuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Timur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Tranum.

“Saya difahamkan hari ini anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara Kem Bukit Galing, Kuantan turut akan menyertai operasi musnah, kehadiran mereka lebih menjamin keselamatan mereka yang menjalankan tugas,” katanya yang turut sama menyertai operasi berkenaan, semalam.

Beliau menambah, sepanjang operasi musnah itu, seramai 22 individu terdiri daripada pekerja dan pemilik kebun ditahan kerana kesalahan berada dalam Hutan Simpan Batu Talam dan mereka didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Kebanyakan pokok dewasa kini sedang mengeluarkan hasil yang banyak dan buah sudah mula gugur secara berperingkat.

Tinjauan dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam mendapat aktiviti menebang dilakukan kelmarin membabitkan lebih 200 pokok durian Musang King dan masih terdapat banyak lagi pokok buah itu yang akan musnahkan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram