mustapha
MUSTAPA MOHAMED - Gambar Bernama.com

SEBANYAK 90 peratus daripada jumlah pinjaman peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bernilai RM8.3 bilion yang dilupuskan oleh kerajaan adalah untuk aktiviti penanaman semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelupusan sebahagian besar pinjaman itu, yang turut digunakan untuk pembangunan asal, hutang sosio ekonomi dan tunggakan kos baja, memberikan kelegaan kepada peneroka.

“Alhamdulillah, sudah setahun FELDA melalui proses transformasi. FELDA kini kembali bergerak ke hadapan melalui detik sukar sejak tahun 2012.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana memberikan hadiah istimewa sempena Hari Peneroka (2021) hari ini,” katanya dalam hantaran Facebook, sempena sambutan Hari Peneroka FELDA 2021 secara maya hari ini.

Buat pertama kali dalam sejarah, seperti yang dijanjikan, Mustapa berkata, para peneroka akan mendapat penyata lengkap hutang termasuk jumlah pinjaman yang dilupuskan.

“Biarpun negara berdepan dengan keadaan sukar akibat COVID-19, kerajaan membuat keputusan ini bagi memastikan kelestarian FELDA untuk melangkah ke hadapan.

“Untuk terus berjaya, peneroka dan pengurusan perlu berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan. FELDA Lombong Emas,” katanya memetik laporan Bernama.com.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutamanya bagi generasi awal.

Dalam ucapannya yang telah dirakam terlebih dahulu sempena pelancaran Hari Peneroka FELDA 2021, beliau berkata pelupusan bersyarat ini merangkumi, antaranya, pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Dis 2019, berjumlah RM8 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka atau 82 peratus daripada keseluruhan 112,638 warga peneroka.