Bilangan jemaah dihadkan mengikut SOP yang diputuskan pihak berkuasa agama negeri masing-masing bagi membendung penularan COVID-19. GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

JOHOR menjadi negeri terbaharu membenarkan pertambahan kapasiti jemaah solat Jumaat sehingga 50 orang di semua masjid berkuat kuasa Jumaat ini.

Bagi surau Jumaat dan surau Jumaat sementara, bilangan jemaah adalah 20 orang.

Seperti mana masjid, jemaah di surau juga dihadkan dari kalangan imam, bilal dan noja, jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah yang digilirkan di kawasan itu sahaja.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin, hari ini.

Kata kenyataan itu, turut dibenarkan ialah solat sunat Aidiladha di masjid dan surau seperti mana kapasiti untuk solat Jumaat.

“AJK pengurusan kariah masjid dan surau serta jemaah yang hadir ke masjid atau surau adalah yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 kecuali kepada imam, bilal dan noja yang bertugas.

“Syarat dua dos lengkap suntikan vaksin COVID-19 ini perlu dipenuhi,” kata kenyataan berkenaan.

Kebenaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi solat fardu lima waktu untuk masjid dan surau, bilangan jemaah adalah 20 orang dari kalangan imam, bilal dan noja, AJK pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah di kawasan itu sahaja.

Baca artikel berkaitan: Perlis benarkan solat jemaah di masjid mulai esok

Melaka, Terengganu benar solat Jumaat dengan pertambahan jemaah

“Mana-mana jemaah lelaki yang mukallaf dan tidak mendapat giliran hadir solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat, hendaklah menunaikan solat fardu Zohor di rumah.

“Mereka juga tidak dibenarkan berada di tempat awam seperti pusat beli-belah atau pusat rekreasi ketika waktu solat jumaat kerana akan menimbulkan fitnah kepada agama Islam.

“JAINJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hendaklah membuat pemantauan SOP masjid dan surau. Masjid dan surau yang didapati melanggar SOP hendaklah ditutup,” kata kenyataan itu.

Solat jenazah (bukan kes COVID-19) di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan bilangan jemaah tidak melebihi 20 orang.