durian
ANGGOTA PGA ditempatkan di kawasan dusun durian haram di Raub, Pahang ketika operasi menebang dijalankan.

SELEPAS beberapa hari diganggu oleh pekebun, operasi memusnahkan kebun durian di Hutan Simpan Batu Talam di Raub, Pahang, berjalan lancar pada hari kelima hari ini tanpa provokasi melampau.

Suasana yang lebih tenteram dipercayai berikutan penempatan anggota Pasukan Gerak Am (PGA) di kawasan tersebut dan sekatan jalan raya yang diadakan oleh pasukan polis.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata hari ini terdapat pertambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara untuk mengawal keselamatan petugas.

Beliau difahamkan, seramai 30 anggota PGA menyertai operasi itu mulai semalam dan hari ini seramai 30 lagi turut sama bergabung menjaga keselamatan petugas yang berada di dalam Hutan Simpan Batu Talam.

BERITA BERKAITAN Lengah operasi musnah kebun durian haram, pekebun robohkan jambatan

Harian Metro melaporkan, anggota polis dan PGA turut mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) 24 jam di laluan utama masuk ke kawasan kebun durian terbabit.

“Kawalan juga membabitkan jambatan simen yang sebelum ini dua kali dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya berharap operasi musnah kali ini dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

“Hari ini kita menambah lebih 30 kakitangan JPNP dari beberapa daerah untuk turut sama menyertai operasi musnah, menjadi kira-kira 65 kakitangan yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan penebang,” katanya, hari ini.

Beliau yang turut sama menyertai operasi berkenaan berkata, kehadiran anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) turut dapat melancarkan lagi aktiviti menebang pokok durian.

Nor Azirim berkata, pihaknya berharap operasi musnah kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar dapat diselesaikan secepat mungkin lebih awal yang tetapkan sebelum ini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram