bakhil di sisi Allah

Tahukah anda, siapakah orang yang bakhil di sisi Allah? Dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w. pernah bersabda,

“Orang yang bakhil adalah orang yang aku disebut di depannya tetapi dia tidak berselawat ke atasku.” – HR Tirmizi

Ya! Di sisi manusia, orang yang digelar bakhil adalah orang yang sangat kedekut untuk mengeluarkan duit atau harta sedangkan ia mampu. Sama sikapnya seperti haji Bakhil dalam filem Nasib si Labu Labi.

Akan tetapi di sisi Allah orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebut nama Baginda s.a.w. dia tidak berselawat, seolahnya untuk agama Allah dia tidak mempunyai masa.

Sedangkan di dalam surah al-Ahzab ayat 56, Allah S.W.T. berfirman bahawa,

Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada Baginda s.a.w. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kalian kepadanya dan bersalamlah dengan bersungguh-sungguh.”

Adapun sebenarnya orang begini adalah orang yang paling rugi sekali di dunia kerana begitu kedekut untuk membuat amal ibadah yang paling mudah, sedangkan Allah S.W.T. dan para malaikat yang mulia pun berselawat kepada Baginda s.a.w.  inikan pula kita makhluk yang hina. Hebat sangatkah kita?

Watak Haji Bakhil begitu sinonim dengan sikap orang kedekut

Memang benarlah sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas. Orang begini dikategorikan sebagai bakhil kerana begitu berat mulutnya untuk menjawab selawat ke atas Nabi s.a.w. Bahkan lebih teruk lagi apabila mereka buat tidak tahu sahaja apabila mendengar nama Baginda s.a.w. disebut.

Dalam hal ini juga sebahagian ulama berpandangan menjadi kewajiban bagi setiap muslim berselawat kepada Baginda s.a.w. tatkala ia mendengar nama Rasulullah s.a.w. disebut baik oleh dirinya sendiri mahupun orang lain.

Kedekut amalan

Bahkan ada juga sesetengah orang kedekut dari segi amalan. Dia mempunyai ilmu tetapi begitu berat untuk melaksanakannya. Contohnya berasa berat langkahnya menuju ke surau untuk solat berjamaah.

Malas membaca al-Quran sekalipun boleh membaca dengan baik. Tidak mahu ke hadapan tatkala ditolak menjadi imam meskipun ada kelayakan berbanding makmum lain kerana kononnya tidak mahu menonjolkan diri.

Malah pelbagai lagi amalan lain yang berat untuk dilaksanakan sedangkan amalan-amalan tersebut tidaklah sesukar mana dan tidak juga memerlukan modal.

Sikap kedekut tidak menguntungkan diri dan orang lain.

Mungkin modal yang ada hanyalah air liur contohnya selawat, amalan berzikir, bertahmid, bertasbih dan pelabagai lagi amalan sunat yang lain. 

Sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T. sikap ini tidak seharusnya berlaku kerana dari sudut amalan kebajikan ia tidak ada had untuk bersikap kedekut. Buatlah sebanyak-banyaknya amal ibadah selagi mana mampu. Malah kalau ingin mendirikan solat berulangkali pun tiada salahnya. Wallahu a’lam

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram