(DIKEMAS KINI) BEKAS anggota kumpulan Rabbani, Azizan Halid yang meninggal dunia sselepas rebah dan sesak nafas pada Rabu lalu disahkan positif Covid-19.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kubur, Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang diuruskan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut prosedur operasi standard (SOP) pada pukul 5 petang tadi.

Terdahulu, jenazah dijadualkan dibawa pulang ke kampung halamannya di Behrang, Perak. Walau bagaimanapun, ahli keluarga akur atas sebab jenazah perlu diuruskan dengan segera.

Menurut ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, jenazah arwah sudah dibenarkan keluar oleh pihak hospital sekitar pukul 7 pagi tadi dan urusan pengebumian dilakukan oleh pihak KKM.

“Pihak hospital sudah mengesahkan punca kematian arwah Azizan adalah disebabkan positif Covid-19. Memang pada awalnya keluarga rancang untuk mengebumikan arwah di kampung halaman nya di Behrang, Pera.

“Tetapi pihak KKM tidak memberi kelulusan memandangkan arwah disahkan positif dan perlu diuruskan secepat mungkin.

“Polis telah memberi syarat kepada ahli keluarga untuk membuat laporan jika mahu membawa pulang jenazah ke Perak selain polis mahu memastikan tanah perkuburan tersebut menerima jenazah pesakit Covid-19.

“Isteri arwah bersetuju untuk dikebumikan di Pantai Dalam dan tidak jauh dari kediaman mereka,” katanya.

Allahyarham Azizan,46, meninggal dunia di PPUM pada pukul 10 pagi selepas mengadu sesak nafas dan rebah di rumahnya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, menurut Azadan, isteri dan anak perempuan arwah perlu menjalani ujian calitan (swab test) dan perlu melakukan kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu.

“Semua urusan pengebumian akan diuruskan oleh KKM. Isteri dan anak perempuan arwah juga akan membuat ujian calitan selain perlu menjalani kuarantin di rumah untuk dua minggu,” ujarnya.

Allahyarham Azizan menyertai Rabbani pada 1997 sebelum mengundur diri pada 2001.

Difahamkan, Azizan tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan yang kronik. Namun, baru-baru ini dia diserang demam sejak seminggu lalu.

Arwah meninggalkan seorang balu iaitu Dewi dan seorang anak perempuan bernama Rania.