PELAKON Mawar Rashid meluahkan isi hatinya yang tidak pernah merasai belaian kasih sayang seorang ayah apabila kehilangan bapa kandung ketika dia masih kecil.
Malah, impian Mawar untuk menumpang kasih bapa mentua juga tidak kesampaian apabila suaminya, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf turut kehilangan ayah kandung.
Menerusi entri di Instagram, Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid,26, dia dibesarkan oleh ibunya dan berdoa agar dapat bertemu dengan bapa kandung serta bapa mentuanya di syurga.
“Dari dulu selalu berangan nak dapat kasih sayang seorang ayah daripada bapa mentua. Tapi Allah SWT tak izinkan. Saya kenal abang (suami) ketika arwah bapa sudah tiada.
“Saya dari kecil dah tak ada ayah. Mummy sayalah ayah, mummy lah ibu sebab itu mummy saya garang sangat-sangat. Teringin juga nak rasa macam mana dapat kasih sayang daripada seorang ayah.
“Tapi sekarang saya doa dan usaha agar saya dapat masuk syurga sebab saya nak jumpa arwah papa dan arwah ayah mentua,” tulisnya.
Menerusi hantaran yang sama, Mawar turut membuat ucapan hari lahir bapa mentuanya selain turut memberitahu dua orang anaknya tidak berpeluang untuk berjumpa dengan Datuk mereka.
“Hari ini hari jadi bapa. Selamat hari jadi bapa…bapa tak sempat jumpa Rafael dan Cinta. Kalau bapa ada, mesti bapa Manakan dua si Raden ini.
“Saya tak tahu kenapa saya sangat rindukan bapa. Al-Fatihah,” luahnya.
Mawar turut memuat naik sekeping foto suaminya yang juga adik kepada penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob ketika masih kecil dan didukung bapanya.
Mawar berkahwin dengan Raf pada November 2017. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Raden Muhammad Rafael,2, dan Raden Seri Rosabella Cinta yang berusia enam bulan.