PENYANYI Sissy Imann kini tampil dengan single terbaharu berjudul Bebas. Itulah tajuk lagu terbaharunya yang kini telah pun berada di pasaran sejak 11 Jun yang lalu. Lagu Bebas ciptaan trio Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King ini telah mendapat lebih daripada 47 ribu tontonan menerusi Youtube MonkeyBone.

Bebas mengisahkan tentang seorang wanita yang inginkan kebebasan dalam mencari erti sebenar kehidupan, dan tidak mahu dikongkong terutamanya dalam mencari erti cinta abadi.

Itulah yang ingin disampaikan oleh Sissy menerusi lagu Bebas ini. Bebas juga akan menjadi lagu runut bunyi (OST) untuk drama Perisik Cinta Tak Diundang yang dilakonkan oleh Andi Bernadee, Shiha Zikir, Hafidz Roshdi, Wani Kayrie dan ramai lagi. Drama yang dijangka menjadi hit ini bakal menemui penonton setia TV3 tidak lama lagi.

“Ini merupakan single pertama saya bagi tahun ini dan kali pertama juga saya bekerjasama dengan tiga komposer terkenal tanah air. Lagu yang dibawakan kali ini amat berbeza daripada lagu-lagu sebelum ini. Lebih teruja apabila lagu ini akan menjadi OST untuk drama di TV3. Tentunya saya rasa seronok dan teruja,” katanya.

Lagu Bebas pastinya mendapat sambutan ramai apatah lagi dengan sokongan daripada pengikut Instagram Sissy yang mencapai lebih 233 ribu pengikut.

Malah dengan pengalamannya dalam bidang nyanyian juga tidak dapat disangkal lagi. Apatah lagi beliau turut berkebolehan bermain pelbagai instrumen muzik seperti gitar, piano, bes dan biola.

Selain karier sebagai penyanyi, beliau juga merupakan seorang pemuzik dan pengacara televisyen. Nama beliau mula melonjak naik menerusi lagu Mungkin Kamu apabila video muzik ini mencecah sehingga 750,000 tontonan Youtube.

Sepanjang kariernya bergelar penghibur, penyanyi “beauty with brain” ini juga pernah muncul dengan single antaranya Pesanan Ayahanda, Sudahlah (Meow), Entah Apa Rasa Bisa Mencinta.

Single Bebas edaran Alternate Records (MonkeyBone) kini boleh didapati di Spotify, Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, YouTube Music and iTunes pada hari yang sama. Lirik muzik video Bebas kini sudah boleh di tonton di laman YouTube MonkeyBone.