SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam di negeri Selangor agar memahami dan menghayati intipati Khutbah Jumaat mengenai bunuh diri yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh negeri Selangor.

Titah baginda, Allah SWT melarang hamba-Nya daripada membunuh diri kerana diri mereka adalah milik-Nya, bukan milik mutlak diri mereka sendiri.

“Justeru, membunuh diri bermakna mengkhianati amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Baginda mengingatkan bahawa dalam Islam, membunuh diri adalah perbuatan dosa besar yang dilarang oleh syarak.

“Terdapat hadis yang secara spesifik menyebutkan bagaimana azab seksa yang dikenakan kepada orang yang membunuh dirinya di akhirat nanti.

“Baginda berpandangan isi kandungan khutbah minggu ini, susulan laporan peningkatan kes bunuh diri, amat perlu diketengahkan untuk diambil sebagai pedoman dan pengajaran oleh umat Islam,” kata hantaran di laman Facebook Royal Selangor Office.

Berikut khutbah Jumaat Selangor hari ini:

Mimbar Jumaat pada hari ini membicarakan tajuk “Tuntutan Memelihara Nyawa”.

Ia menggariskan bahawa membunuh diri adalah suatu perbuatan jenayah dan tindakan yang menyebabkan kematian kepada diri sendiri.

Ia dilakukan dengan pelbagai cara, sama ada dengan menggantung diri sendiri, meminum racun atau terjun dari tempat yang tinggi.

Tindakan membunuh diri merupakan suatu perbuatan yang ditegah dalam ajaran Islam dan merupakan salah satu dosa besar. Ini bertepatan dengan larangan yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Ia sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah yang dianjurkan oleh Islam dengan keutamaan memelihara nyawa, agama, akal, keturunan dan harta benda.

Tegahan membunuh diri ditegaskan oleh Allah di dalam ayat yang telah dibacakan pada awal khutbah ini dalam Surah An-Nisa Ayat 29 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu.”

Berdasarkan kepada ayat tersebut, nyawa adalah milik Allah. Dialah yang menghidup atau mematikan seseorang, manusia tidak mempunyai hak menentukan hidup matinya dengan cara menyebabkan kematian kepada diri sendiri.

Tekanan emosi dan masalah yang dihadapi boleh mengakibatkan segelintir individu mengambil jalan singkat dan tindakan diluar jangkaan seperti bunuh diri atau mencederakan diri sendiri.

Tidak dinafikan wabak COVID-19 adalah satu bentuk ujian Allah Taala sehingga mencetuskan tekanan dan hilang pertimbangan iman. Oleh itu, ia mendorong keinginan untuk bunuh diri akibat berputus asa dengan rahmat Allah.

Kita perlu berasa takut dengan ancaman terhadap tindakan bunuh diri yang ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W. melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu’Anhu.

“Barang siapa yang membunuh diri dengan pisau, maka kelak pisau di tangannya, dia akan menikam ke perutnya pada hari kiamat di neraka Jahanam, dia kekal di dalamnya selama-lamanya.

Dan barangsiapa membunuh diri dengan meminum racun, maka racunnya di tangannya, dia akan meminumnya di neraka Jahanam, dia kekal di dalamnya selama-lamanya.

Dan barang siapa terjun dari (atas) gunung, sehingga dia mati, maka kelak dia akan terjun (dari tempat tinggi) di neraka Jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan kepada hadis Nabi tersebut, bunuh diri merupakan perbuatan terkutuk yang dilarang Allah. Pelakunya akan diazabkan Allah di hari akhirat nanti dan tiada sesiapapun akan terlepas dari azab-Nya.

Individu Muslim perlu memantapkan keimanan agar perbuatan bunuh diri tidak menjadi satu penyelesaian masalah kehidupan apabila berputus asa.

Antara saranan khatib untuk menghindari dari melakukan perbuatan tersebut :

  1. Bersabar dengan ujian dan istiqamah mendirikan solat. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 153:
    “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”
  2. Sentiasa berzikir lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan ujian kerana dengan berzikir itu akan membawa ketenangan dalam hati dan menghilangkan kegelisahan bahkan dapat mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara lain yang tidak berfaedah untuk merasai ketenangan dan kebahagiaan.
  3. Rawatlah dukacita dengan doa. Nabi S.A.W. pernah mengajarkan beberapa doa yang masyhur kepada para sahabat bagi menghilangkan kesedihan dan dukacita. Antara doa yang dibaca oleh Nabi S.A.W. adalah: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, penakut dan bakhil, lilitan hutang dan penindasan orang.”
  4. Hendaklah mengajukan permasalahan yang dihadapi kepada ahli keluarga, sanak saudara dan lain-lain individu yang boleh dipercayai untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar.

Membunuh diri bukan penyelesai masalah, bahkan ia adalah permulaan kepada masalah yang lebih besar di sebelah sana nanti sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Justeru, semua pihak perlu terlibat memberi sokongan kepada masyarakat yang hidup dalam keadaan tertekan sehingga sanggup mengambil tindakan nekad membunuh diri. Pimpinan masyarakat, komuniti, NGO dan individu perlu tampil dengan idea dan cadangan untuk membantu dan menyokong masyarakat yang terkesan.

“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM”
“BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram