Saudara Pengarang,

Dengan apa yang berlaku dalam mesyuarat MKT UMNO, Rabu lalu ada yang membangkitkan apa yang cuba dibuat oleh pemimpin parti ialah menjadikan kejadian di Perak pada Disember 2020, sebagai modul untuk merubah pucuk pimpinan di pusat.

Namun begitu, sebenar-benarnya ia adalah keadaan dan latar belakang yang berbeza sama sekali. Jangan samakan senario penukaran Menteri Besar di Perak dengan cubaan menukar Perdana Menteri di pusat. 

Perbandingan ini adalah satu parable yang tidak tepat. Tidak boleh membuat bandingan seperti itu kerana perlu banding durian dengan durian bukan durian dengan rambutan, apatah lagi durian dengan epal. 

Di Perak proses penukaran berlaku di dalam sidang Dewan Undangan Negeri, apa yang terjadi ialah keadaan ini berlaku ketika pandemik Covid-19 tidak seteruk ini. Sehingga akhir Disember 2020, bilangan akumulatif positif Covid-19 berjumlah berjumlah 113,000 berbanding dengan sekarang hampir 800,000. Peningkatan sebanyak 85 peratus dalam masa enam bulan.

UMNO/BN Perak ketika itu juga adalah single majoriti terbesar dalam dewan, dan mampu membentuk kerajaan minoriti. Selain daripada itu, sudah ada beberapa ADUN yang sanggup menjadi ADUN Bebas menyokong BN jika diperlukan.

Dalam pengiraan awal pula, Menteri Besar ketika itu hanya mampu mendapat sokongan kurang dari tujuh undi dari 59 Adun di dalam dewan.

Di peringkat Parlimen, harus diakui UMNO/BN dengan hanya 41 kerusi (dua dari MCA dan satu dari MIC) tidak ada majoriti untuk membentuk kerajaan, walaupun kerajaan minoriti.

Kedudukan kerusi di Parlimen buat masa ini Kerajaan PN mempunyai 115 kerusi dengan pecahan BN (41), PBBM (31), Pas (18), PRS (dua), SUPP (1), PDP (2), PBB (13), dan PBRS, PBS, Star serta Bebas masing-masing dengan satu ahli Parlimen. Jika BN menarik sokongan, PN hanya tinggal 77 kerusi. 

Langkah ini pasti akan merintis  jalan bagi PH untuk kembali menjadi kerajaan minoriti Secara tak langsung UMNO akan memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dan DAP kembali memerintah. 

Jadi slogan ‘No Anwar, No DAP” yang bergema dalam PAU lepas akan hanya menjadi laungan seperti dalam konsert rock  semata-mata setakat menyeronokkan hati akar umbi.

Berpuluh tahun akar umbi UMNO diasak dengan pemikiran untuk menolak Anwar dan DAP. Adalah tidak adil tiba-tiba UMNO menjadi instrument untuk menobatkan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Akar umbi UMNO juga akan terluka jika langkah pucuk pimpinan, membantu DAP untuk kembali memerintah walaupun sebagai kerajaan minoriti. Dalam masa 22 bulan DAP menjadi kerajaan, walaupun tidak menjadi Perdana Menteri, orang Melayu tahu apa yang berlaku.

Benar Mahiadin bukan Perdana Menteri terbaik dan dianggap mengkhianati perjuangan UMNO dan pemimpin kanan parti itu. 

Tetapi dalam keadaan rakyat gundah gulana, sebarang perebutan kuasa akan lebih memburukkan keadaan. Janganlah UMNO disalahkan nanti kerana menambah bebanan rakyat. Biarlah UMNO jadi bijak, terus menjadi harapan rakyat bukan menambah kesengsaraan rakyat.

MOHD MUZAMMIL ABDULLAH,

Kuala Lumpur.