lima kunci ghaib Allah

Sesungguhnya beriman dengan perkara ghaib adalah merupakan satu perkara asas dalam akidah Islam. Sesiapa sahaja yang melihat kepada wahyu, pasti akan dapat menetapkan bahawa proses penurunan wahyu kepada para Rasul dan Nabi s.a.w. adalah satu proses yang berunsur ghaib.

Beriman kepada wahyu yang bersifat ghaib dan perkara-perkara ghaib yang dibawa oleh wahyu adalah merupakan penanda aras ketaqwaan seseorang Muslim. Seawal ayat yang ketiga dalam surah al-Baqarah lagi Allah telah menekankan peri pentingnya beriman dengan perkara ghaib. Firman Allah Ta’ala,

Alif laam miim. Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.”

Terdapat sebuah hadith yang menceritakan kunci-kunci perkara ghaib atau mafatihul ghaib iaitu dari Abu Hurairah dari Rasulullah s.a.w, bersabda,

Kunci-kunci semua yang ghaib jumlahnya lima, tidak ada yang dapat mengetahui lima perkara ini terkecuali Allah, “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari kiamat dan Dialah yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok hari. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” – (Surah Luqman:34). HR al-Bukhari.

Ibn Kathir telah menghuraikan ayat yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis di atas dengan berkata (maksudnya),

“Ini semua adalah kunci-kunci perkara ghaib yang mana Allah menyimpan ilmunya. Tiada seorang pun yang mengetahui tentangnya kecuali selepas Allah memberitahu tentangnya.”

Pertama: Ilmu tentang waktu hari Kiamat tidak diketahui oleh Rasulullah mahupun malaikat yang dekat kepada Allah, (tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia) – Al-A’raf: 187

Kedua: Tentang penurunan hujan, tiada yang mengetahui tentangnya kecuali Allah. Namun bila Allah mengarahkannya maka perkara itu akan diketahui oleh para malaikat yang ditugaskan untuk hal itu dan juga sesiapa sahaja yang Allah inginkan di kalangan makluk-Nya.

Hujan merupakan salah satu rahsia Allah.

Ketiga: Tiada yang mengetahui apa yang berada di dalam rahim daripada apa yang Allah ingin cipta kecuali Dia sahaja. Namun bila Dia arahkan agar janin itu menjadi lelaki atau perempuan, celaka atau sejahtera maka perkara itu akan diketahui oleh para malaikat yang ditugaskan untuk hal itu dan juga sesiapa sahaja yang Allah inginkan di kalangan makhluk-Nya.

Keempat: Tiada suatu jiwa pun yang mengetahui apa yang bakal diusahakan atau dikecapinya dalam kehidupan dunia mahupun akhirat.

Kelima: Tiada suatu jiwa pun yang mengetahui di bahagian bumi manakah dia akan mati. Adakah di negerinya sekarang atau di negeri lain dari kalangan negeri-negeri Allah? Tiada seorang pun yang mempunyai ilmu tentangnya.” 

Begitulah huraian yang cukup mantap dan jelas oleh Ibn Kathir tentang mafatihul ghaib atau kunci-kunci perkara ghaib. Melalui huraian ini, dapatlah kita rumuskan bahawa:

Pertama: Pengetahuan secara terperinci dan merangkumi serta sebelum dan selepas setiap satu daripada lima kunci-kunci perkara ghaib ini hanyalah milik Allah.

Kedua: Kunci-kunci perkara ghaib ini boleh dikategorikan kepada dua: Perkara ghaib yang diketahui oleh Allah sahaja iaitu waktu berlakunya hari Kiamat. Yang kedua, perkara ghaib yang diketahui oleh Allah sahaja, namun boleh juga diketahui oleh segelintir malaikat dan segelintir makhluk selepas Allah memerintahkannya dan memaklumkannya. Misalnya penurunan hujan, janin dalam rahim, nasib di dunia dan di akhirat, serta tempat mati. 

Ketiga: Lima kunci-kunci perkara ghaib ini boleh dijadikan ukuran bagi kesesatan mereka yang mendakwa mempunyai ilmu yang menyeluruh tentangnya.

Menurut penjelasan Ibn Kathir sebentar tadi, lima kunci-kunci perkara ghaib itu hanyalah milik Allah. Beliau menjelaskan bahawa ilmu tentang bila akan berlakunya hari Akhirat hanya dimiliki oleh Allah. Tidak ada satupun makhluk yang mengetahui ilmu ini.

Nasib di dunia dan akhirat adalah rahsia Allah yang kita boleh ketahuinya.

Adapun berkenaan empat lagi kunci-kunci perkara ghaib, dapatlah dilihat dari dua sudut. Sudut pertama adalah sudut menyeluruh dan merangkumi. Dari sudut ini, hanya Allah sahaja yang memilikinya.

Sudut kedua adalah sudut spesifik. Ertinya, sebagai contoh bila Allah arahkan para malaikat yang ditugaskan menjaga janin untuk menulis takdir dan nasib si janin, pasti malaikat itu mengetahui tentang janin itu. Begitu juga apabila Allah arahkan para malaikat yang ditugaskan menjaga hujan untuk turunkan hujan di sesuatu tempat, pasti malaikat itu mengetahui tentang hujan itu.

Seterusnya, Ibn Kathir telah menyatakan bahawa terdapat juga makhluk-makhluk lain yang mengetahui tentang empat perkara itu setelah Allah memerintahkan agar ianya wujud dan berlaku.

Justeru, dengan petanta-petanda tertentu sebahagian perkara ghaib itu dapat diketahui oleh sebahagian makhluk. Perlulah ditekankan bahawa di peringkat ini, sebahagian perkara ghaib itu telah berubah menjadi perkara nyata. Wallahu a’lam

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram