PENYANYI pop legenda, Datuk Jamal Abdillah bersyukur akhirnya menerima suntikan vaksin jenis Pfizer di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, Selangor, hari ini.
Lebih istimewa, kehadirannya di PPV pada pukul 2 petang itu turut disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Sha’ari Ngadiman.

Ujar Jamal, selain mendapatkan suntikan dos pertama, dia turut meluangkan masa kira-kira dua jam bersama dengan petugas barisan hadapan (frontliner) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Alhamdulillah, syukur saya sudah menerima suntikan pertama vaksin Pfizer dalam usaha mencegah penularan virus Covid-19. Saya juga bertuah kerana kedatangan saya ke PPV hari ini turut disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor.
“Saya turut meluangkan masa beberapa jam bersama petugas barisan hadapan bagi memberi kata-kata semangat dan tahniah atas usaha mereka bekerja siang dan malam setiap hari.
“Malah, saya turut bersetuju menyampaikan sebuah lagu berjudul Kekasih Awal dan Akhir sebagai tanda penghargaan dan niat mahu menghiburkan mereka (petugas barisan hadapan),” katanya ketika dihubungi URTV.

Sementara itu, pelantun lagu Neraca itu turut menitipkan pesanan kepada orang ramai khasnya buat warga emas untuk tidak berasa ragu-ragu menerima suntikan vaksin.
Malah, Jamal turut mencadangkan kepada pihak KKM untuk ‘mendekati’ warga emas yang berada di kawasan perkampungan bagi memastikan urusan pemberian vaksin dipercepatkan.
“Saya fokus pada orang-orang kampung yang tidak mempunyai telefon pintar sekali gus menyukarkan mereka untuk mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
“Jangan takut untuk dapatkan suntikan vaksin ini dan dapatkan info daripada anak-anak dan saudara-mara bagi memudahkan urusan suntikan vaksin disegerakan.
“Golongan (warga emas) ini berisiko tinggi, risau jika mereka terlambat untuk dapatkan vaksin. Jadi, saya harap pihak KKM perlu mencari jalan agar proses pemberian vaksin kepada penduduk kampung dipercepatkan,” ujarnya.
