Tular sejak semalam aksi seorang wanita menyusup masuk ke kawasan PKPD di Pantai Dalam, ibu negara.

SEJAK semalam tular video bagaimana aksi seorang wanita dapat menyusup masuk melalui dawai besi.

Kejadian tersebut berlaku di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam.

Berikutan itu, polis sedang mengesan wanita tersebut yang dipercayai tinggal di Puchong.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas sebuah video insiden itu yang dirakam orang awam tular di media sosial.

“Hasil siasatan mendapati wanita yang memakai baju gelap dan seluar putih itu memasuki kawasan berkenaan untuk melawat neneknya.

“Usaha untuk mengesan wanita yang dipercayai tinggal di Puchong sedang giat dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Saringan bertumpu di PKPD, kilang antara sebab lonjakan kes

Beliau berkata saksi awam yang memuat naik video itu di media sosial mengaku merakam video insiden berkenaan berdurasi 30 saat petang semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa- apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram