PADA 9 Jun 1912, lokasinya di kawasan kejiranan Vilisca, sebuah pekan kecil dalam daerah Lowa, Amerika Syarikat. Ketika itu di sebuah gereja, suasana ceria dengan sebuah pesta untuk meraikan kanak-kanak di situ. Tamat majlis sekitar pukul 9.45 malam, pengunjung mula bergerak pulang ke rumah.

Antaranya ialah pasangan suami isteri, Sarah Moore dan Josiah Moore yang berjalan pulang bersama empat anak mereka iaitu Herman, Catherine, Boyd dan Paul. Turut serta ialah Lena dan Ina Stilinger, teman baik kepada anak perempuan pasangan tersebut yang akan tidur di rumah mereka malam itu.

Pasangan suami isteri, Josiah Moore dan Sarah Moore.

Pagi 10 Jun 1912, Mary Peckham, jiran sebelah rumah keluarga Moore keluar melakukan rutin hariannya seperti biasa. Sewaktu sedang menjemur pakaian di belakang rumah, Mary dicuit rasa hairan melihat rumah jirannya sunyi sepi.

Selalunya pada waktu begitu, Sarah akan keluar untuk memberi makan kepada ayam ternakannya. Suaminya, Josiah juga tidak kelihatan sedangkan selalunya awal pagi dia akan keluar bekerja.

Mary menjengah ke rumah jirannya itu. Tidak nampak kelibat sesiapa. Dia mengetuk pintu rumah. Pun sunyi, tiada jawapan. Mary cuba memulas tombol pintu rumah, tetapi ia berkunci dari dalam. Sangkanya, mungkin jirannya itu tidak sihat dan sedang tidur di dalam rumah.

Mary kembali ke rumahnya. Namun, hatinya tidak tenang. Lalu dia menghubungi adik Josiah, Ross Moore yang mempunyai kunci pendua dan berjanji akan datang segera ke rumah abangnya itu.

Rumah keluarga Moore yang menjadi lokasi pembunuhan tragis.

Setibanya Ross di situ, dia membuka pintu. Puas dia melaung, memanggil nama abang dan kakak iparnya. Tiada sahutan.

Ross berjalan ke ruangan dapur. Tiada kesan rompakan atau apa-apa yang mencurigakan. Dia bergerak pula ke bilik anak-anak buahnya.

Sebaik membuka pintu, Ross terkejut melihat dua mayat terlentang di atas katil. Darah membasahi segenap ruang bilik. Ross segera berlari keluar menjerit meminta Mary menghubungi pihak polis.

Apabila pihak berkuasa sampai, mereka menggeledah kawasan rumah. Hasil siasatan, mereka temui mayat Ina dan Lena Stilinger dalam bilik tetamu rumah itu. Manakala ahli keluarga Moore yang lain pula ditemui dalam bilik di tingkat atas rumah mereka.

Pasangan suami isteri ini dan empat anak mereka, beserta dua kanak-kanak lain yang merupakan rakan anak mereka, semuanya dibunuh tragis.

Kesemua mangsa mengalami luka teruk di kepala, dipercayai ditetak menggunakan kapak milik Josiah. Motif kejadian tidak dapat dikenal pasti.

Beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan, namun semuanya dilepaskan kerana tiada bukti kukuh. Sehingga hari ini, pembunuh keluarga Moore dan rakan anak mereka masih gagal diberkas.

Kisah pembunuhan keluarga ini yang disiarkan dalam akhbar tempatan.

Kejadian aneh di rumah Moore

KEDIAMAN keluarga Moore bertukar milik selepas kematian tragis itu. Namun, tiada penghuni yang mampu bertahan lama tinggal di situ. Akhirnya ia dibiarkan tidak berpenghuni untuk beberapa ketika.

Tahun 1994, Darwin dan Martha Linn membeli rumah tersebut. Mereka mengubah suai menjadikan ia seperti rumah asal yang pernah didiami oleh keluarga malang Moore.

Kemudian, rumah itu dibuka untuk kunjungan umum. Ramai pengunjung datang untuk melihat rumah yang suatu ketika dulu pernah menggemparkan kawasan itu dengan kisah pembunuhan kejam.

Rumah yang merupakan lokasi keluarga Moore dibunuh dibuka untuk pengunjung datang ke sini.

Ramai yang datang ke situ menceritakan pernah terserempak dengan kehadiran lembaga aneh yang berlegar-legar dalam kawasan rumah.

Antara yang kerap kelihatan adalah bayangan seorang wanita duduk di bahagian dapur. Wajahnya sugul.

Antara bayangan aneh yang dirakam foto pengujung di rumah ini.

Ada pula yang pernah mendengar bisikan suara kanak-kanak. Suara itu mengakui dirinya adalah Paul, salah seorang daripada anak pasangan Moore yang dibunuh kejam pada malam tragedi itu.  

Malah, Paul juga sering menggolekkan bola-bola mainan keluar dari bawah katil kepada pengunjung yang datang melihat kawasan bilik tidurnya.

Pintu almari dalam bilik itu pula kerap terbuka dan tertutup sendiri. Seakan ‘penghuninya’ sengaja ingin memberitahu tentang kehadiran mereka di situ.

Salah satu bilik di tingkat atas yang dihuni anak-anak Moore yang mati dibunuh.

Selain itu, ada pengunjung yang mendakwa terdengar pelbagai suara yang memberitahu di mana lokasi si pembunuh sewaktu datang ke rumah tersebut.

Yang pasti, baru terjawab persoalan mengapa ramai pemilik yang tidak tahan untuk terus tinggal di rumah itu dahulu.

Rupa-rupanya ahli keluarga Moore masih ‘wujud’ di segenap pelosok rumah itu. Malah, imej-imej entiti aneh sering muncul dalam foto-foto yang dirakam pengunjung.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam