SELEPAS suami, anak-anak dan pembantu rumah disahkan positif Covid-19 beberapa hari lalu, kini pelakon Datin Rebecca Nur Al-Islam pula turut dijangkiti virus tersebut.

Menurut Rebecca, 35, dia disahkan positif Covid-19 selepas menjaga suami dan anak-anaknya yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN : Keluarga besar Rebecca Nur Al-Islam positif Covid-19

“Pada awalnya saya negatif. Akhirnya saya juga disahkan positif Covid-19 setelah menjaga suami dan anak-anak tercinta.

“Doakan saya dan ahli keluarga kembali sihat seperti sedia kala. Secara jujurnya, saya juga hampir tumbang semalam kerana tidak boleh melelapkan mata dan terfikir dengan sekelip mata dapat jangkitan, namun akur segala-gala ujian datang dari-Nya,” katanya.

Ujar Rebecca, walaupun sedar risiko untuk dijangkiti sangat tinggi, namun sebagai seorang isteri dan ibu, dia tidak sanggup melihat keluarganya berada dalam kesakitan.

“Saya tak sampai hati dan terpaksa bercampur dengan mereka untuk memberi ubat dan sebagainya. Demi anak-anak dan suami yang terlalu lemah, saya cuba kuatkan diri dan akhirnya malam tadi saya juga disahkan positif Covid-19.

“Terlalu laju dan bahaya sangat-sangat Covid-19 ini. Kesian tengok suami dan anak-anak semua,” luahnya di Instagram.

Terdahulu, Rebecca memaklumkan suaminya, Datuk Nur Azam Sulaiman, enam cahaya mata, Nor Khayrin, Nor Adam Daniel, Nor Anggun Raverra, Nor Aliff Al-Raffael, Nor Ahmet Al-Reaggan dan Nor Aurora Riana serta tiga pembantu rumahnya disahkan positif Covid-19 pada Khamis lalu.