DR NOOR HISHAM ABDULLAH

SEBANYAK 353 kes positif COVID-19 telah dikesan hari ini daripada 13 kluster tempat kerja baharu yang dilaporkan.

Secara keseluruhan, 13 kluster tempat kerja itu merupakan majoriti kepada penyumbang kluster baharu hari ini.

Jumlah kluster baharu yang dikesan hari ini adalah sebanyak 19 kluster.

Selain kluster tempat kerja, lima kluster komuniti dikenal pasti dan satu lagi melibatkan kluster kumpulan berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tempat kerja yang melaporkan jumlah kes tertinggi adalah Industri Jalan Rukun di Kuala Selangor.

Kata beliau, kluster berkenaan telah mencetuskan 75 kes positif daripada 105 ujian saringan yang dilakukan.

Menurut Dr. Noor Hisham, Kuala Lumpur menjadi negeri tertinggi yang merekodkan kluster baharu iaitu sebanyak enam diikuti empat dicatatkan di Johor.

Baca artikel berkaitan: 30 kluster, 21 libat tempat kerja, 3 pusat tahanan

Beliau berkata, Selangor pula mencatatkan tiga kluster baharu yang kesemuanya kluster tempat kerja dan masing-masing dua di Kelantan serta Perak.

“Masing-masing satu kluster telah dikesan di Pulau Pinang iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Thean Teik dan Sabah babitkan Kluster Kayu Patikang.

“Kedua-dua kluster tersebut adalah kluster tempat kerja.

“Kluster yang mencatatkan jumlah kes tertinggi pula adalah kluster komuniti Batu Muda dengan 197 jangkitan COVID-19 daripada 346 ujian saringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengesanan kluster baharu hari ini itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster sejak COVID-19 melanda adalah sebanyak 3,077.

Pada masa sama, sebanyak 865 kluster masih aktif manakala 2,212 lagi telah diisytiharkan tamat.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut menasihati individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan.

Kata beliau, ia termasuk mengelakkan 3S iaitu kawasan sesak, sempat dan sembang pada jarak dekat serta mengamalkan 3W iaitu wash, wear dan warn.

“Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram