SUATU hari, Imam Hanafi (juga digelar Abu Hanifah) sedang berjalan-jalan melalui kawasan perkampungan di ibu kota Baghdad. Sewaktu melintasi sebuah rumah tiba-tiba telinga ahli fiqh terkenal itu menangkap suara seseorang sedang merintih. Memberhentikan langkahnya, Imam Hanafi lantas mengamati suara berkenaan. 

Dia dapat mendengar dengan jelas rintihan seorang lelaki dari rumah itu yang berkata: “Aduhai! Kenapa malangnya nasibku. Rasanya tiada orang lain yang lebih malang daripada aku. Sejak semalam tiada secebis pun makanan yang dapat kumakan. Badanku semakin lemah.

“Ya Allah! Tiada lagikah hati-hati yang belas kasihan memberi aku sedikit makanan. Aku pohon kepadamu ya-Allah, kabulkanlah permintaan hamba-Mu ini.”

Amat tersentuh perasaan Imam Hanafi apabila mendengar rintihan begitu. Dia cuba mengintai ke dalam rumah, tetapi tiada sesiapa dilihatnya. Puas dia meninjau setiap sudut rumah tetapi masih gagal melihat apa-apa. Cuma yang masih kedengaran hanyalah suara rintihan berulang kali. 

Setelah puas menunggu, Imam Hanafi membuat keputusan pulang ke rumahnya, mengambil sedikit wang dan membungkusnya dalam uncang lalu bergegas semula ke rumah lelaki tadi.

Sebaik sampai, Imam Hanafi melontarkan bungkusan wang tadi melalui jendela yang terbuka. Dia kemudian menyambung perjalanannya.

Lelaki yang merintih itu terkejut mendapati sebuah bungkusan tiba-tiba jatuh di hadapannya. Dengan pantas dia berlari ke jendela untuk melihat siapakah gerangan manusia pemurah itu. Namun tiada sesiapa yang kelihatan.

Lelaki berkenaan menuju semula ke arah bungkusan yang belum diusik. Sebaik dibuka, alangkah terkejutnya lelaki itu apabila mendapati di dalam bungkusanitu terdapat wang emas berkilauan.

Terselit sama dalam bungkusna itu secebis nota yang berbunyi:  “Hai manusia, sesungguhnya tidaklah wajar kamu mengeluh dan merintih akan nasibmu. Ingatlah akan kemurahan Allah dan cubalah memohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh. Janganlah terlalu cepat berputus asa, tetapi berusahalah bersungguh-sungguh.  Insya-Allah Tuhan akan menolong kamu!”

Esoknya Imam Hanafi sekali lagi melintasi rumah yang sama. Sekali lagi beliau terdengar lelaki itu merintih.  Katanya: “Ya-Allah! Ya-Tuhan Yang Maha Pemurah. Sudilah kiranya Engkau membukakan pintu hati seseorang agar memberikan aku bungkusan seperti semalam sekadar menyenangkan hidupku yang melarat ini.

“Jika Engkau tidak mendengar permintaanku, bertambah sukarlah hidupku. Kau ubahkanlah nasibku ini ya-Allah. Telah begitu lama aku menderita. Kalau tidak Engkau siapa lagi yang dapat membantu diriku ini!”

Selepas mendengar keluhan itu, Imam Hanafi melemparkan satu lagi bungkusan melalui jendela yang sama sambil bergegas meninggalkan kawasan tersebut.

Lelaki itu terlalu gembira mendapat bungkusan kedua kerana menyangka segala doanya diperkenankan. Apabila bungkusan itu dibuka, ia memang berisi wang seperti yang dihajatinya serta terdapat lagi secebis nota. 

Kali ini kandungan nota berbunyi: “Hai! sahabat, bukan begitu cara memohon. Alangkah baiknya jika engkau berusaha dan berikhtiar. Dengan hanya berdoa tanpa usaha, malas namanya. Tuhan tidak menyukai orang malas apatah lagi yang berputus asa. Sesungguhnya Allah tidak reda melihat seseorang bersifat pemalas dan berputus asa.

Rezeki tidak turun dari langit. Ia datang dengan usaha.

“Ingatlah,  hendak senang mesti berusaha. Kita tidak disuruh duduk diam dan berdoa sahaja. Allah tidak akan perkenankan doa orang yang tidak berusaha. Carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan diri. Berikhtiarlah di samping berdoa memohon pertolongan Allah.  Banyak yang dapat engkau lakukan. Aku doakan semoga engkau beroleh kejayaan.”

Lelaki itu termenung seketika memikirkan kandungan nota yang dibacanya sebentar tadi. Dia berasa amat malu pada dirinya lantas menadah tangan: “Ya-Allah, ya-Tuhanku. Ampunkanlah dosaku selama ini!”

Esoknya, lelaki berkenaan keluar mencari pekerjaan dengan hasrat mendapatkan rezeki halal untuk menyara hidupnya. Dia bertekad tidak akan menghabiskan masa dengan berdoa, sebaliknya bekerja dan berusaha mengikut syariat Islam. 

Sejak itu hidup lelaki berkenaan bertukar. Dia tidak lagi merintih seperti sebelumnya. Lelaki itu bukan sahaja menjadi seorang yang rajin bekerja tetapi juga kuat beribadat, pemurah dan sering membantu orang lain.

Kisah ini sangat relevan dengan situasi yang berlaku sekarang. Sedih, di kalangan kita ada yang terpaksa mengangkat bendera putih lantaran hilang mata pencarian akibat pandemik Covid-19.

Ramai yang dibuang kerja, tidak dapat berniaga, ditimpa penyakit, uzur dan tidak mampu bekerja lagi, anak-anak yang masih kecil dan bersekolah, hutang rumah serta kenderaan, dan sebagainya.

Hendak meminta bantuan, tidak tahu ke mana hendak dituju dan dihubungi. Hendak meminta bantuan dari jiran-jiran, berasa malu. Sekali, boleh. Tapi sampai bila? Mereka sangat terdesak hingga terpaksa mengangkat bendera putih, walaupun malu.

Gambar hiasan: Di samping berusaha, perlu berdoa. Yang mampu, membantu yang susah. Bendera putih bukan mengalah dan putus asa. Tetapi jangan pula ada yang mengambil kesempatan atas kebaikan masyarakat sekeliling.

Namun tidak dinafikan juga, ada yang hidup susah kerana malas bekerja. Mereka lebih suka hidup mengharap kasihan belas orang lain tanpa perlu bersusah payah. Mengambil kesempatan daripada sifat pemurah masyarakat sekeliling.

Paling bahaya, segelintir yang lebih suka berdoa tanpa perlu berusaha mengeluarkan peluh. `Bendera putih’ mereka ialah berdoa mengharap rezeki turun dari langit.

Berdoa itu perlu. Namun yang wajib ialah berusaha. Bendera putih bukanlah mengalah, tetapi ikhtiar sementara waktu untuk meneruskan hidup, sambil terus berusaha keluar daripada kesusahan tadi.

———————

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam