Pendatang baharu dunia seni suara tanah air, Muhammad Zareef Hussein Anwar Hussein atau nama pentasnya Zareef Sein mengorak langkah dengan melancarkan single solo terbaharunya yang berjudul Cinta Syurgaku.

Lagu Cinta Syurgaku merupakan lagu ciptaan penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini sendiri dan telah diberikan susunan muzik indah oleh komposer terkenal tanah air iaitu Audi Mok.

Menurut Zareef, peluang bekerjasama dengan komposer terkenal, Audi Mok merupakan satu penghargaan buat dirinya sebagai pendatang baru di dalam industri muzik Malaysia.

“Idea untuk Cinta Syurgaku ini muncul ketika saya berada di dalam bilik. Semua lagu yang saya tulis adalah berdasarkan kisah yang terjadi di dalam ‘dunia cinta’ saya yang tidak berakhir dengan baik.

“Tetapi apabila saya menulis lirik, saya andaikan cerita cinta itu berakhir dengan happy ending,” kata Zareef yang pernah mengalahkan Aina Abdul di dalam program realiti nyanyian, Vokal Mania (2020) pada episod yang kelima.

Cinta Syurgaku pertaruhan pertama Zareef Sein dalam industri seni suara tanah air.

Jelas Zareef lagi, proses untuk menulis lirik Cinta Syurgaku ini mengambil masa yang singkat sahaja iaitu 30 minit dan proses merakam single ini pula mengambil masa selama 3 jam.

“Saya berterima kasih kepada Warner Music Malaysia atas peluang yang diberikan untuk merakamkan lagu Cinta Syurgaku ini. 

“Menerusi lagu ini, saya berharap ianya dapat mengetengahkan semula bakat saya kepada peminat seni dan pendengar muzik tempatan.

“Harapan saya agar lagu ini akan diterima baik oleh pendengar muzik di luar sana. Mudah-mudahan lagu ini mampu memeriahkan lagi industri muzik Malaysia dalam masa-masa sukar seperti ini,” ujar penyanyi berusia 21 tahun ini.

Single Cinta Syurgaku terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 2 Julai2021 manakala video muzik rasmi Cinta Syurgaku boleh ditonton di Youtube Warner Music Malaysia bermula 7 Julai 2021.