beriman kepada malaikat

Beriman kepada malaikat adalah salah satu rukun iman. Iman seseorang tidak dianggap sah selagi ia tidak beriman kepada malaikat. Beriman kepada malaikat disebut di dalam firman Allah surah al-Baqarah: 285,

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman semuanya beriman kepada Allah dan Malaikat-malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari rasul-rasulnya.” Mereka berkata lagi, “Kami dengar dan kami taat. (Kami pohonkan ) keampunan Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu jualah tempat kembali”

Percaya kepada malaikat adalah percaya kepada benda ghaib kerana malaikat itu adalah ghaib dan mempunyai alam tersendiri. Seperti yang dijelaskan di dalam surah Al- Baqarah: 2-3,

Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya, ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Bagaimana untuk beriman kepada malaikat? beriman kepada malaikat adalah membenarkan dan meyakini keberadaannya. Malaikat juga makhluk Allah sama seperti manusia dan jin tapi mereka adalah makhluk yang taat dan tidak pernah membuat kesilapan.

Malaikat juga akan mati suatu hari nanti tapi mereka adalah antara makhluk yang ditangguhkan oleh Allah ajalnya. Kita juga perlu mengakui bahawa malaikat ada tugas-tugasnya yang tertentu.

Ada yang ditugaskan untuk menjaga Arsy, berdiri berbaris, menjaga syurga dan neraka, mencatat amal dan ada juga yang ditugaskan untuk mengiringi awan. Itu tandanya kita percaya kepada malaikat.

Bentuk asal malaikat

Apabila disebut malaikat itu adalah perkara yang ghaib maka kebolehan manusia untuk melihatnya di dalam bentuk asalnya tidak mungkin terjadi. Kecuali setelah ia menjelma di dalam bentuk manusia. Tidak ada seorang manusia pun yang pernah melihat malaikat di dalam bentuk asalnya kecuali Rasulullah s.a.w.

Baginda bertemu malaikat Jibril di dalam bentuk asalnya sebanyak dua kali sahaja seperti yang disebutkan di dalam surat At Takwir ayat 23 kemudian sekali lagi di sebut di dalam surah An Najm 13-16.

Dan sesungguhnya Muhammad itu melihat Jibril di ufuk yang terang.”

Menurut tafsir Ibnu Katsir, Nabi Muhammad s.a.w. telah melihat Jibril dengan nyata buat kali pertamanya di al-Bath-ha. Ini didasarkan kepada bahawa surah At-Takwir adalah surah yang turun sebelum malam Israk.

Nabi s.a.w. melihat bentuk asal malaikat ketika naik ke langit

Ada pun kali kedua Nabi s.a.w melihatnya adalah di Sidratul Muntaha seperti yang disebut di dalam surah an-Najm 13-16,

“Sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asal) pada waktu lain iaitu di Sidratil Muntaha. Yang di sisinya terletak Syurga Janntul-Ma’wa. (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah ) semasa Sidratul-Muntaha itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib yang tidak terhingga”

Peristiwa itu terjadi ketika Rasulullah s.a.w. sedang melakukan mikraj. Ia secara jelasnya disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah tentang dua ayat yang disebut di atas tadi. Lalu Rasulullah menjawab,

“Dia adalah malaikat Jibril di mana saya belum pernah melihatnya dalam bentuk asal sesuai rupa yang diciptakan oleh Allah kecuali pada dua kesempatan tersebut. Saya melihatnya saat di Sidratul Muntaha ia turun dari langit. Kerana bentuk fizikalnya yang besar maka antara langit dan bumi tertutup.”

Kemudian terdapat lagi satu hadis dari Imam Ahmad dari Abdullah bin Mas’ud katanya,

Rasulullah pernah melihat malaikat Jibril dalam bentuk asalnya dengan memiliki enam ratus sayap. Setiap sayapnya memenuhi ruang angkasa langit dan berjatuhan dari sayapnya warna-warni intan dan mutiara

Sebelum itu Rasulullah juga pernah melihat Malaikat Jibril ketika wahyu terhenti beberapa ketika. Setelah itu Jibril datang membawa wahyu dari Allah iaitu Surah al-Muddatstsir ayat 1-5.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abu Salmah berkata Jabir bin Abdillah mengkhabarkan kepadaku bahawa dia mendengar Rasulullah bercerita tentang terputusnya wahyu. Baginda bersabda,

“Ketika sedang berjalan tiba-tiba aku mendengar suara dari langit maka aku pun mengalihkan pandangan ke langit ternyata Malaikat yang mendatangiku di gua Hira sedang duduk di atas kerusi yang mengambang di antara langit dan bumi. Aku terkejut melihatnya kerana takut hingga terduduk ke tanah. Aku pun kembali ke rumah dan mengatakan, “Selimuti aku, selimuti aku, selimuti aku!” maka Allah pun turunkan ayat 1-5 surah al-Muddatstsir.

Berbentuk manusia

Selain itu, malaikat dilihat di dalam bentuk manusia ketika menyampaikan wahyu pada Rasulullah mahupun nabi-nabi yang terdahulu. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim disebutkan juga Ibnu Umar berkata,

“Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya dan tidak nampak pada dirinya bekas-bekas perjalanan.

Di antara kami tidak ada yang mengenalinya. Kemudian dia duduk di sisi Rasulullah dengan menyandarkan ke dua lututnya kepada lutut Rasulullah dan meletakan tapak tangannya di atas paha Rasulullah. Seraya berkat,

“Wahai Muhammad beritahuku tentang Islam.” Di dalam hadis tersebut lelaki tu juga menanyakan tentang iman, ihsan, hari kiamat dan tanda-tandanya.” Setelah lelaki itu pergi Rasulullah memberitahu kami bahawa lelaki itu adalah Jibril.”

Di dalam situasi yang lain pula, Aisyah pernah melihat Rasulullah meletakkan tangannya pada kuda Dihyah al-Kalby sambil berbicara. Ketika ditanyakan tentang hal itu, Rasulullah menjawab,

“Itu adalah malaikat Jibril dan dia menyampaikan salam kepadamu.”

Di dalam hadis riwayat Imam Muslim dari Jabir bahawa Rasulullah bersabda,

“Nabi-nabi terdahulu telah diperlihatkan kepada ku. Ternyata aku melihat Nabi Musa seorang yang berperwatakan mirip dengan kebanyakan lelaki suku Syanuah. Dan Isa Ibnu Maryam ku lihat mirip dengan Urwah bin Mas’ud dan Ibrahim a.s. mirip dengan sahabatmu ini iaitu diri nabi s.a.w. sendiri. Kepadaku diperlihatkan juga Jibril. Ketika itu dia kulihat mirip dengan Dihyah (Ibnu Khalifah)”

Sifat fizikal malaikat

Malaikat ini satu makhluk yang besar tapi ia tidak pernah derhaka kepada Allah. Ia jauh bezanya dengan manusia yang dijadikan Allah tidaklah besar mana. Malaikat itu adalah makhluk yang besar dan bersayap

Secara jelas Allah menyebut hal itu di dalam surah Faatir ayat 1,

Segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap dua, tiga dan empat. Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa jua yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Walaupun begitu jangan digambarkan sayap malaikat itu bagaimana kerana itu adalah rahsia Allah. Di dalam al-Quran dan hadis pun tidak ada diperjelaskan bentuknya bagaimana?

Mungkinkah kilauan cahaya dilangit adalah sayap para malaikat?

Namun Nabi s.a.w. ada menjelaskan tentang besarnya sayap itu seperti hadis yang menyebut tentang sayap Jibril. Iaitu Jibril memiliki 600 sayap, satu sayapnya apabila dilebarkan ia akan menutupi bumi ini.

Dengan sayap itulah mereka terbang untuk menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah dengan pantas. Ada di antara mereka memiliki dua, tiga dan empat sayap dan ada juga yang memiliki lebih daripada jumlah itu. Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, ia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Aku melihat Jibril, ia memiliki enam ratus sayap dari bulunya berhamburan titisan permata dan mutiara.”

Firman Allah dalam surah At-Takwir: 18-19,

“Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia yang mempunyai kekuatan yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arsy, yang ditaati di sana(di alam malaikat) lagi dipercayai.”

Untuk menjelaskan hal itu Ibnu Katsir mengumpulkan pendapat beberapa ulama Ibnu Abbas, Asy-Sya’bi, Maimun Mihran, al-Hasan, Qatadah, ar-Rabi bin Anas dan Adh-Bhahhak. 

Mereka menggambarkan Jibril malaikat yang mulia, rupawan lagi tampan, kuat, mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah, dihormati serta dipatuhi di kalangan malaikat.

Manakala  Qatadah pula mengatakan bahawa Jibril itu bukan malaikat biasa, ia adalah yang paling tinggi di dalam dunia malaikat dan diberi tanggung jawab menyampaikan risalah Allah. Wallahu a’lam

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram