Bagaikan ‘senjata makan tuan’. Itulah yang penulis tafsirkan apabila meneliti gerakan politik yang cuba diwujudkan oleh segelintir pemimpin UMNO dalam usaha mereka menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ia memandangkan apa yang berlaku sebaliknya mendedahkan kelemahan kepemimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja sebagai Presiden UMNO tetapi juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid cuba membuat naratif supaya UMNO termasuk ahli Parlimennya menjayakan usahanya membawa parti itu keluar daripada Kerajaan PN dengan memberi tempoh 14 hari kepada Kerajaan memanggil sidang Parlimen, jika tidak berbuat demikian, MT UMNO akan melakukan tindakan lanjut.

Walaupun beliau berjaya mendapat sokongan majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) dan penuh bangga mengumumkan pada pukul 1 pagi Khamis lalu bahawa UMNO menarik balik sokongan kepada Muhyiddin namun ia tidak membawa apa-apa erti.

Keadaan itu berlaku kerana Ahmad Zahid gagal untuk memastikan sekurang-kurangnya 33 ahli Parlimen parti tersebut akur dengan pendirian MT. Ia mendedahkan kegagalan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk menjadi seorang Presiden yang mampu mengawal situasi dalam parti.

Kelemahan beliau semakin ketara apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan terpaksa pula membuat kenyataan menegaskan, walaupun ahli Parlimen UMNO diberi kebebasan menggunakan budi bicara jika berlaku pengundian di Parlimen tetapi mereka mesti patuh kepada ketetapan parti (menarik semula sokongan kepada Muhyiddin).

Kenapa boleh jadi begitu? Ia disebabkan sudah tular rakaman suara Ahmad Zahid berhubung keputusan parti yang tidak diumumkan oleh beliau iaitu ahli Parlimen UMNO diberi kebebasan menggunakan budi bicara ketika pengundian tanpa menyebutpun soal patuh kepada keputusan parti.

Sebagai Presiden parti, Ahmad Zahid sepatutnya bijak, apatah lagi melibatkan keputusan parti dalam satu mesyuarat yang dianggap penting. Tetapi adakah ‘pembetulan’ yang dibuat Ahmad Maslan itu diterima oleh ahli-ahli Parlimen UMNO?

Tidak juga! Apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim merangkap Pengerusi Perikatan Nasional Backbenchers (PNBB) membuat kenyataan menegaskan,;

‘’Kami ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional berpegang kepada kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO iaitu memberikan kebebasan budi bicara kepada ahli-ahli Parlimen untuk membuat keputusan ketika sesi pengundian.’’

Kenyataan itu sekaligus menampakkan kelemahan Ahmad Zahid bukan sahaja tidak mampu menguasai ahli Parlimen UMNO tetapi juga komponen lain khususnya MCA dan MIC yang sudah menjadi rakan UMNO sejak merdeka lagi.

Pada Khamis lalu, ahli-ahli BN mengumumkan sepakat kekal menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri untuk meneruskan agenda membela rakyat.

“Apa yang menjadi keutamaan Ahli-ahli Parlimen pada waktu ini adalah usaha memastikan agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN), dapat direalisasikan dengan keyakinan bahawa rakyat akan kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum Pandemik Covid-19.

“Dalam keadaan negara sedang berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi, kelangsungan hidup rakyat jauh lebih penting daripada percaturan parti-parti politik,” kata mereka.

Kepemimpinan MCA dan MIC juga dilihat ‘tidak gerun’ dengan kepemimpinan Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN. Malah ini bukan kali pertama mereka tidak kisah apa yang diputuskan oleh Pengerusi BN tersebut.

Dalam reaksi kepada keputusan MT UMNO, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon berkata, penarikan sokongan UMNO tidak mengubah pendirian partinya.

‘’Kecuali BN membuat keputusan baru dan rasmi, MCA akan terus menyokong PN sehingga pilihan raya berikutnya, sesuai dengan keputusan BN sebelum ini,’’ katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.

Presiden MIC Tan Sri S Vigneswaran memberi reaksi yang lebih menarik perhatian apabila berkata,;

‘’UMNO sebuah parti yang matang, mereka pun tahu, dulu ketika memerintah banyak kali desakan oleh pembangkang supaya Perdana Menteri mereka berundur, mereka tak buatpun mereka tahu itu hanya desakan,’’ katanya.

Sebelum ini MCA dan MIC juga dilaporkan tidak berpuas hati apabila Ahmad Zahid melantik Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung BN bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa. 

Annuar dipecat daripada jawatan itu apabila mempersoalkan usaha segelintir pemimpin UMNO menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP. Akhirnya Ahmad Maslan digantikan dengan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir.

Pada 5 Mac lalu, MCA, MIC dan PBRS  menyanggah kenyataan Ahmad Zahid yang menyatakan BN merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan segera.

Memetik laporan Malaysiakini,  Vigneswaran berkata, mesyuarat BN mengambil ketetapan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen.

“Saya terkejut dengan kenyataan pengerusi BN. Mesyuarat BN tidak pernah menyokong sebarang keputusan untuk merayu Seri Paduka menitahkan mengadakan sidang Parlimen dengan segera,” katanya.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesahkan apa yang dikatakan Vigneswaran manakala Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Dewan Tertinggi BN tidak setuju berhubung kenyataan media yang dikeluarkan Ahmad Zahid.

Kenapa itu berlaku? Penulis tidak ada jawapan yang pasti tetapi tindak tanduk politik Ahmad Zahid sendiri sebenarnya menyebabkan pemimpin UMNO dan BN ‘terhakis’ keyakinan mereka kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Antara isu paling ketara ialah surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Satu ketika Vigneswaran meminta Ahli Majlis Tertingg UMNO, Datuk Puad Zarkashi bertanya kepada Ahmad Zahid berhubung surat berkenaan.

Vigneswaran membuat desakan itu selepas Fuad yang dianggap ‘panglima perang’ dalam mempertahankan Ahmad Zahid dan sentiasa aktif ‘menyerang’ Muhyiddin dan PN, menegur MIC dan MCA agar jangan gopoh mencari ‘rakan pergantungan’ baharu hanya kerana kedua-dua parti itu mempunyai satu atau dua kerusi kawasan pilihan raya. 

Membalas teguran itu, Vigneswaran dengan tegas berkata;

‘’Siapa yang gopoh? Siapa yang bagi surat kepada Agong untuk menyokong Anwar. Cukuplah, bagi kita ada kerusi ke tiada kerusi ke, kita tak ada masalah. 

“Bukan mati pun. Yang bermasalah sekarang parti tunjang BN, iaitu UMNO. Saya menggesa Puad beri nasihat kepada kepimpinan UMNO sahaja. Perbetulkan isu dalam UMNO dulu.’’

Selain itu, di peringkat akar umbi, beberapa pemimpin di peringkat bahagian semakin lantang meminta Ahmad Zahid berundur, bukan kata Ketua Bahagian malah Ketua Pemuda Bahagian pun sudah berani bersuara.

Rentetan apa yang dinyatakan jelaslah bahawa kepemimpinan Ahmad Zahid bukan kata lemah, malah semakin lemah. Tambahan pula apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, ahli-ahli UMNO dan komponen BN sudah nampak siapa yang boleh ‘menyelamatkan’ mereka.

Justeru Ahmad Zahid harus bijak menilai kedudukannya. Jika beliau benar-benar sayangkan UMNO dan mahu melihat BN kembali kuat serta jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN kembali dihormati, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu seharusnya tahu apa yang perlu dilakukan.

Jika kelemahan kepemimpinan beliau terus dibiarkan, tidak mustahil UMNO tidak mampu  bangkit dalam PRU-15 dan BN pula mungkin ‘berkubur tanpa nisan’. Semoga itu tidak berlaku.