PEMBERIAN vaksin COVID-19 seluruh negara terus berada pada prestasi positif selepas 10.8 peratus populasi telah lengkap dua dos suntikan setakat ini.

Peratusan populasi yang telah lengkap dua dos itu meliputi seramai 3.526 juta individu.

Walaupun kadar pemberian harian semalam menurun kepada 291,217, namun jumlah itu lebih besar jika dibandingkan 206,015 pada hari sama minggu lalu.

Kadar suntikan pada hujung minggu kebiasaannya menurun berbanding hari-hari lain.

Jumlah yang diberi semalam merangkumi 190,186 bagi suntikan pertama manakala 101,031 lagi untuk dos kedua vaksin COVID-19.

Secara keseluruhan, sebanyak 11.366 juta dos telah pun diberikan sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula penghujung Februari lalu.

Setakat ini, seramai 7.840 juta individu atau 24 peratus daripada populasi telah pun menerima suntikan pertama.

Baca artikel berkaitan: Lebih 11 juta dos diberi, 10.5% populasi lengkap dua dos

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pemberian vaksin tertinggi bagi dua dos secara harian semalam dicatatkan di Sarawak iaitu sebanyak 36,279 dos.

Kata beliau, pemberian vaksin suntikan pertama tertinggi pula direkodkan di Selangor berjumlah 50,607 dos.

Menurut Dr. Adham, keseluruhan pemberian dua dos menyaksikan Sarawak kekal penerima tertinggi melibatkan seramai 556,871 individu atau 19.8 peratus daripada populasi negeri tersebut.

Beliau berkata, ia diikuti Selangor yang merekodkan 497,708 individu (7.6 peratus populasi); Kuala Lumpur 358,619 (20.2 peratus populasi); Johor 342,383 (9.1 peratus populasi) dan Sabah 305,601 (7.8 peratus populasi).

Katanya, Perak menjadi penerima keenam tertinggi yang telah sempurna dua dos vaksin iaitu sebanyak 270,092 seterusnya Kedah (212,837); Kelantan (186,656) dan Pulau Pinang (173,750).

“Di Pahang pula sebanyak 167,333 dos kedua pemberian vaksin telah diagihkan diikuti 130,315 di Negeri Sembilan; 115,633 di Terengganu dan 93,200 di Melaka.

“Sebanyak 55,068 dos kedua vaksin telah diberi di Perlis dan masing-masing sebanyak 32,261 dan 28,349 di Putrajaya serta Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Selangor menjadi negeri penerima dos pertama vaksin COVID-19 tertinggi iaitu seramai 1.497 juta individu atau 22.9 peratus daripada populasi.

Setakat ini Selangor turut menjadi negeri penerima tertinggi vaksin yang telah diberikan iaitu melibatkan seramai 1.995 juta individu.

Beliau memaklumkan ia diikuti seramai 1.398 juta di Kuala Lumpur, 1.383 juta di Sarawak; 552,584 di Johor dan 485,403 di Perak bagi dos pertama vaksin telah diberi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram