Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Facebook MKN

BUAT pertama kali sejak sekian lama, pemberitahuan mengenai kluster baharu tidak ‘didominasi’ kluster tempat kerja.

Hari ini, hanya lima kluster baharu membabitkan tempat kerja dilaporkan.

Walau bagaimanapun, keadaan masih membimbangkan kerana separuh daripada 16 keseluruhan kluster baharu itu melibatkan jangkitan dalam komuniti.

Secara keseluruhan, sebanyak 140 kes positif COVID-19 telah dikesan daripada lapan kluster komuniti yang dilaporkan hari ini.

Kluster komuniti yang merekodkan jumlah jangkitan tertinggi adalah kluster Rantau Kesidang di Maran dan Jerantut Pahang.

Ia menyaksikan sebanyak 29 individu dikesan positif daripada 52 ujian saringan yang dijalankan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain kluster komuniti dan tempat kerja, sebanyak tiga lagi kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi turut dikenal pasti.

Beliau memaklumkan, secara keseluruhan, kluster yang mencatatkan jumlah tertinggi pula adalah kluster Industri Jalan Utas di Selangor.

Baca artikel berkaitan: 353 kes positif dikesan babit 13 kluster tempat kerja

Kata beliau, kluster tersebut telah merekodkan 35 positif daripada 250 ujian saringan.

Menurut Dr. Noor Hisham, Kuala Lumpur menjadi negeri tertinggi yang merekodkan kluster baharu iaitu sebanyak empat diikuti tiga dicatatkan di Johor.

Beliau berkata, Selangor pula mencatatkan dua kluster baharu yang kedua-duanya kluster tempat kerja.

“Masing-masing satu kluster telah dikesan di Pahang, Perak, Sarawak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengesanan kluster baharu hari ini itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster sejak COVID-19 melanda adalah sebanyak 3,093.

Pada masa sama, sebanyak 865 kluster masih aktif manakala 2,228 lagi telah diisytiharkan tamat.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut menasihati individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan.

Kata beliau, ia termasuk mengelakkan 3S iaitu kawasan sesak, sempat dan sembang pada jarak dekat serta mengamalkan 3W iaitu wash, wear dan warn.

“Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram