MENAIKKAN bendera putih juga boleh dijadikan alasan untuk penyamun memasuki rumah mangsa dengan mudah. - GAMBAR HIASAN

MEMOHON bantuan dengan mengangkat bendera putih atau mengisytiharkan secara terbuka sememangnya mempunyai risiko anda akan dikunjungi ‘tetamu tidak diundang.’

Jika sebelum ini, golongan ‘penyamun’ ini sukar nak memasuki rumah orang, kini mereka bagai diberi lesen apabila ramai pemohon bantuan akan membuka pagar dan pintu rumah seluas-luasnya.

Bagi seorang suri rumah di Melaka, kejadian pada Sabtu lalu sememangnya bagai ‘jatuh ditimpa tangga,’ bukan sahaja tidak dapat bantuan tetapi harta yang sekelumit juga habis disapu orang.

Dalam kejadian di Taman Desa Ayer Merbau, Jasin tersebut, wanita itu kerugian kira-kira RM7,000 selepas barang kemas miliknya dilarikan seorang lelaki yang kononnya ingin memberinya bantuan.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika lelaki terbabit datang ke rumah wanita berusia 54 tahun itu untuk membawanya keluar membeli barangan keperluan.

BERITA BERKAITAN Bendera putih, si pemalas dan doanya…

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, mangsa dikatakan berkenalan dengan suspek melalui aplikasi TikTok kira-kira dua minggu sebelum kejadian.

Menurutnya, mangsa dijanjikan untuk diberikan bantuan keperluan rumah sebelum barangan kemas miliknya dilarikan.

“Pada hari kejadian suspek dikatakan datang ke rumah mangsa untuk mengambil dan membawanya keluar membeli barangan keperluan di pasar raya.

“Bagaimanapun, suspek kemudian dikatakan membuat helah dengan masuk ke kediaman wanita itu dan mencuri barangan kemas milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Katanya, susulan itu mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, berdasarkan statistik ini kejadian kedua dilaporkan berlaku sejak Januari lalu yang mana mangsa diperdaya untuk diberikan bantuan dan seterusnya menjadi mangsa curi.

“Dalam situasi pandemik Covid-19 ini ada kumpulan atau individu yang dipercayai mengambil kesempatan menghubungi atau datang ke rumah mangsa dengan berpura-pura ingin memberikan bantuan tetapi kemudiannya mengambil kesempatan melakukan jenayah curi atau samun.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram