INSTITUT Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) akan menjalinkan kerjasama dengan University of Cambridge Institute for Sustainability Leadership (CISL) untuk menganjurkan program pendidikan ekslusif.

Program tersebut bagi memperkukuh kepemimpinan lestari dalam industri kewangan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, program Kelestarian Kepimpinan untuk Institusi Kewangan itu akan diadakan pada hari Rabu dan Khamis ini.

Yusry Yusoff

Kata beliau, program tersebut bakal dirasmikan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

“IBFIM sangat teruja di atas peluang untuk bekerjasama dengan CISL iaitu sebuah institusi kelestarian global yang terkemuka.

“Kami yakin program yang dihasilkan secara eksklusif oleh CISL untuk industri kewangan Islam ini akan mendorong penerapan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: IBFIM, Kementerian Luar kerjasama tingkat pakar kewangan Islam

Sebanyak tiga kumpulan pembelajaran akan mengikuti program tersebut dengan kumpulan pertama bakal dihadiri 32 peserta daripada 17 institusi perbankan Islam yang terdiri daripada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan pegawai pengurusan kanan.

Program berkenaan dianjurkan bagi menyokong komitmen oleh komuniti pengamal (COP) VBI dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).

Selain itu, Yusry memaklumkan, program tersebut juga mampu memperkukuh peranan industri dalam memajukan masa depan yang lestari.

Yusry turut berterima kasih atas sokongan dan komitmen daripada anggota VBI-COP dalam pembangunan program berkenaan.

Claire Shine

Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif CISL, Claire Shine berkata, CISL telah bekerjasama selama lebih 30 tahun dengan pemimpin-pemimpin dalam bidang perniagaan dan kewangan, pembuat dasar serta masyarakat umum bagi membantu memahami dan menangani cabaran global yang kritikal.

Jelas beliau, CISL juga menggunakan pengetahuan dan jaringan sedia ada sebagai perantara bagi memajukan konsep kelestarian.

“Kami amat komited untuk menangani perubahan iklim, melindungi dan memulihkan alam semula jadi dalam membina masyarakat yang inklusif serta berdaya tahan.

“Kami juga berharap dengan kerjasama yang sedia ada bersama IBFIM, program kepemimpinan transformatif ini dapat dilaksanakan bagi membantu institusi kewangan mengambil tindakan terhadap risiko dan peluang dalam era global yang berubah dengan pantas,” jelasnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram