amalan sunat bulan Dzulhijjah

Bulan Dzulhijjah merupakan antara bulan yang paling dimuliakan dalam Islam. Malah bulan ini juga termasuk dalam kalangan antara 4 bulan Haram selain Dzulkaedah, Rejab dan Muharam.

Dinamakan bulan Haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan suci di mana Allah S.W.T. mengharamkan sebarang bentuk kezaliman. Setiap kezaliman yang dilakukan pula dosanya adalah lebih besar dari bulan-bulan yang lain.

Adapun bulan Dzulhijjah sebagaimana maklum merupakan bulan bagi menunaikan ibadah haji di Mekah dan melaksanakan ibadah korban. Antara amalan mudah, terbaik dan yang utama dalam bulan ini yang boleh kita lakukan dalam mendekatkan diri kepada Allah ialah:

Pertama: Puasa sunat

Puasa sunat pada hari pertama sehingga sembilan Dzulhijjah sangat dituntut dan digalakkan. Dalam sebuah hadis daripada salah seorang isteri Baginda s.a.w. menyebutkan, “Rasulullah s.a.w. berpuasa pada sembilan hari pertama bulan Dzulhijjah…” – HR Imam Ahmad & Imam Abu Daud

Selain itu berpuasa pada hari Arafah juga sangat dituntut untuk dilakukan dan dihukumkan sunat Muaakad bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Manakala orang yang sedang melaksanakan ibadah haji disunatkan tidak berpuasa walaupun ia berupaya mengerjakannya.

Kelebihan berpuasa Arafah disebutkan Baginda s.a.w. dari Abu Qatadah r.a.

Puasa Arafah, aku memohon kepada Allah agar menebus dosa-dosa setahun sebelumnya serta setahun selepasnya.” – HR Muslim

Maksud dari hadis ini ialah sesiapa yang berpuasa di hari Arafah maka ganjarannya adalah pengampunan dosa-dosa setahun sebelum hari Arafah yang lalu serta setahun selepas hari Arafah yang akan datang.

Kedua: Solat sunat

Perbanyakkan solat sunat kerana ia menampung kekurangan solat wajib

Sepuluh hari pertama dalam bulan Dzulhijjah adalah waktu terbaik untuk melaksanakan sebarang ibadah dan ia merupakan waktu ibadah yang sangat disukai Allah. Perbanyakkan ibadah solat sunat kerana ia merupakan ibadah yang paling afdal dalam mendekatkan diri kepada Allah.

Buatlah apa pun solat sunat sepanjang tempoh ini. Insya-Allah akan diberikan ganjaran berlipat kali ganda dari Allah S.W.T.

Ketiga: Memperbanyakkan berdoa

Sebaik-baik berdoa ialah pada hari Arafah kerana ia adalah hari yang dimuliakan Allah dan merupakan waktu yang paling mustajab. Baginda s.a.w. bersabda,

Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah. Dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan diucapkan oleh para nabi sebelumku adalah, “tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang esa. Tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian. Dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” – HR Tirmizi

Keempat: Memperbanyakkan berzikir

Dari Ibnu Umar r.a. bersabda Baginda s.a.w. “Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah serta tidak ada hari-hari di mana amalan pada hari-hari tersebut lebih disukai oleh Nya lebih daripada sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah ini. Maka perbanyakkanlah pada hari-hari itu tahlil, takbir serta tahmid.” – HR Imam Ahmad

Kelima: Bersedekah

Perbanyakkan sedekah sepanjang bulan Dzulhijjah

Bersedekah merupakan amalan yang sangat mulia dan dituntut dalam Islam. Ia bukan sahaja membersihkan harta dan jiwa, malah ia juga dapat membantu orang yang memerlukan, apatah lagi pada ketika ini ramai yang mengalami kesusahan dek terkesan dengan pandemik covid.

Sebagaimana yang disebutkan di atas, 10 hari pertama dalam bulan Dzulhijjah adalah waktu ibadah yang sangat disukai Allah. Insya-Allah dengan amalan bersedekah dalam hari-hari ini menambahkan lagi cinta Allah dan cinta manusia kepada kita.

Semoga kita dapat manfaatkan waktu sepuluh hari ini dengan amalan yang mudah namun diberi ganjaran pahala berlipat kali ganda dari Allah S.W.T. Wallahu a’lam

__________________________

 Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram