sprm

SELEPAS dua orang pegawai polis ditahan dan reman sebelum ini, hari ini tiga lagi anggota polis direman empat hari bermula hari ini.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Pada masa sama, seorang pegawai kanan polis disambung reman empat hari bagi membantu siasatan kes sama.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faezah Abdullah terhadap ketiga-tiga anggota itu masing-masing berusia 28, 34 dan 39 tahun serta pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP).

Tiga anggota berkenaan berpangkat Sarjan dan Lans Koperal.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan tiga anggota itu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dua pegawai kanan polis masing-masing direman empat dan lima hari bagi membantu siasatan dakwaan meminta suapan RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Pegawai berpangkat ASP ditahan reman bermula Jumaat lalu dan seorang lagi berpangkat Deputi Superintendan (DSP) ditahan reman bermula Sabtu lalu. Mereka berusia 48 tahun.