Durraini Baharuddin
Durraini Baharuddin (kiri) dan Kamal Mustadza

VALUE Partners Group Limited, syarikat tersenarai di Bursa Hong Kong, mengumumkan anak syarikatnya, Value Partners Asset Management Malaysia Sdn. Bhd. (Value Partners Malaysia) melancarkan VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF (ETF Saham-A China.

Pelancaran hari ini menjadikan ia merupakan ETF Saham-A pertama di dunia yang menjejak prestasi indeks Dow Jones Islamic Market China A-Shares 100 (Indeks Penanda Aras).

Pengarah Urusan Value Partners Malaysia, Durraini Baharuddin berkata, ETF Saham-A China menggunapakai strategi replikasi penuh, yang mana ETF akan memegang setiap konstituen Penanda Aras, dalam pewajaran yang sebahagian besarnya sama.

“Produk ini juga adalah ETF pertama Value Partners Malaysia yang disenaraikan pada Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini..

Beliau berkata, ETF Saham-A China memberikan para pelabur pendedahan kepada saham patuh syariah dalam ekuiti Saham-A China sejagat.

“Disebabkan kriteria kuantitatif yang digunapakai oleh indeks, ETF Saham-A China akan memberi para pelabur pendedahan kepada ekonomi baru China.

“Ia juga akan membolehkan mereka menyertai perubahan dinamik dan trend pertumbuhan positif struktur ekonomi China, apabila China bergerak ke arah bertumpukan ekonomi yang diterajui kepenggunaan dan perkhidmatan,” tambahnya.

Antara bidang ekonomi baru China, termasuk sektor-sektor seperti teknologi, kepenggunaan, penjagaan kesihatan dan 5G.

BERITA BERKAITAN Felda beli lagi 467,300 saham FGV di pasaran terbuka

Metodologi syariah yang digunapakai menghendaki syarikat-syarikat disaring pada dua peringkat, pertamanya secara sektor dengan mengecualikan sektor-sektor yang haram dan sektor kewangan.

Saringan kedua adalah saringan kuantitatif meliputi kecairan dan jumlah hutang berdasarkan metrik-metrik yang khusus dan diluluskan.

Oleh itu, secara automatik syarikat-syarikat patuh Syariah akan mempunyai asas perniagaan yang kukuh disokongi kecairan modal yang sihat, kata Durraini.

Katanya, untuk mencapai objektifnya, ETF Saham-A China akan melabur sehingga 100 peratus daripada nilai aset bersih (NAV) dalam sekuriti yang dibenarkan, dengan pilihan untuk melabur sehingga 10 peratus daripada NAV Dana dalam skim pelaburan kolektif Islam, instrumen pasaran kewangan Islam dan/atau deposit Islam.

Durraini berkata, Value Partners diasaskan bersama Pengerusi Bersama dan Ketua Pegawai Pelaburan Bersama, Datuk Seri Cheah Cheng Hye yang pakar pelaburan China yang terkenal.

“Kami mempunyai rekod prestasi yang panjang dalam memberikan pulangan pelaburan yang unggul selama hampir 30 tahun dan sentiasa berusaha untuk menyediakan produk inovatif kepada para pelabur kami.

“Produk ini adalah suatu instrumen unik untuk pelabur Malaysia menyertai peluang yang ada dalam ekonomi baru China berdasarkan prinsip-prinsip Syariah.”

“Kami percaya bahawa ETF baru kami akan memenuhi keperluan kedua-dua pelabur institusi dan individu yang ingin mencari nilai dalam pasaran saham-A China,” tambah Durraini.

Dengan kemasukan saham-A China dalam indeks-indeks global, kenaikan penyertaan asing dalam pasaran dijangka menyebabkan penilaian semula aset yang meningkat.

Pengurus Dana Value Partners Malaysia, Kamal Mustadza berkata: “Kami mempunyai pandangan positif mengenai aliran masuk modal asing ke pasaran China dan terus optimis.

“Usaha berterusan China untuk membangun dan meingkatkan kebolehcapaian pasaran selama bertahun-tahun menjadikan pasaran China terlalu besar dan tidak patut diabaikan oleh para pelabur,” katanya.

VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF diuruskan Value Partners Malaysia, dan memegang saham-saham fizikal sebagai asas pelaburan.

Ini adalah dana andalan Value Partners Malaysia yang ditawarkan kepada para pelabur institusi dan individu di Malaysia.

Satu majlis penyenaraian anjuran bersama oleh Bursa Malaysia dan Value Partners Malaysia akan diadakan pada 28 Julai ini.

Para pelabur boleh membeli dan menjual unit-unit VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF sepanjang hari perniagaan seperti mana-mana saham yang diperdagangkan secara awam, dengan lot dagangan minimum 100 unit.

ETF Saham-A China akan dilancarkan pada harga tawaran permulaan sebanyak RM2.00 seunit. – UtusanTV


_______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare