GERAK hati seorang perempuan, selalunya tepat terutama sekali apabila menyentuh soal percintaan. Mereka dapat merasakan sesuatu yang tidak kena sekiranya terdapat sebarang kelainan ataupun perubahan pada pasangan.

Walaupun ada di kalangan lelaki yang memandang remeh tentang sesuatu perkara, misalnya terlupa untuk menghubungi kembali kerana terlalu sibuk dengan kerja, boleh mengakibatkan sesuatu perhubungan menjadi teruk dan seterusnya membawa kepada pergaduhan.

Bagaimanapun, memang terdapat tanda-tanda nyata bahawa si dia sudah tidak mahu ada komitmen dengan anda.

  • BERUBAH LAKU TERHADAP PASANGAN

Kebanyakan lelaki memiliki tabiat tersendiri dalam perhubungan dan anda mendapati bahawa si dia tidak lagi melakukannya sejak kebelakangan ini. Adakah kelakuannya pelik daripada kebiasaan? Adakah si dia menatap mata anda apabila anda berbual dengannya? Jika si dia bertandang ke tempat anda, apakah dia berjalan dan kemudiannya, memegang tangan anda ataupun tidak lagi memperdulikan kehadiran anda? Fikir-fikirkanlah…

  • SAYA, SAYA DAN SAYA…

Apabila berbual-bual, si dia tidak lagi menggunakan perkataan ‘kita’ berbanding biasa. Apa sahaja yang diperkatakannya, lebih kepada mementingkan keperluan dan kehendak dirinya sendiri. Lelaki sebegini sebenarnya tidak lagi menumpukan sepenuh perhatian kepada anda. Mungkin ada perkara lain yang telah mengalih tumpuannya sejak kebelakangan ini. Boleh jadi, si dia telah pun bertemu dengan gadis lain yang jauh lebih baik ataupun si dia telah tawar hati dan tidak lagi memiliki perasaan istimewa terhadap anda.

  • TIDAK SUKAKAN GAYA ANDA

Cuba anda perhatikan si dia tatkala keluar membeli-belah. Adakah dia mencadangkan anda supaya membeli pakaian yang berlainan daripada yang anda selalu pakai? Ataupun si dia selalu meluahkan rasa tidak selesa dengan penampilan anda? Ini boleh dijadikan antara petanda bahawa lelaki tersebut sudah tidak berminat dengan diri anda lagi.

  • TIDAK LAGI MENGHUBUNGI

Sibuk bekerja bukan lagi suatu alasan untuk tidak menghubungi teman istimewa anda pada setiap hari. Menerusi perantara komunikasi canggih hari ini seperti telefon bimbit, e-mel, internet dan sebagainya, seharusnya memudahkan anda menitipkan khabar buat si dia yang tersayang. Jika teman anda sering terlupa menghubungi anda kembali walaupun cuma seketika, cuba tanya sama ada dia benar-benar terlupa ataupun sengaja berbuat demikian. Teknologi sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya.

  • TIDAK LAGI GALAK BERBUAL

Perbualan anda berdua semakin hari semakin hambar dan tiada isi langsung. Si dia tidak lagi suka memperkatakan dengan lebih lanjut tentang sesuatu perkara, berbanding dahulu. Dia akan memberikan bermacam-macam alasan agar anda tidak mengajaknya untuk berbual panjang.

  • TIADA MASA HADAPAN

Perhubungan yang serius perlu ada perancangan untuk hidup bersama iaitu perkahwinan. Kenal pasti hala tuju dalam perhubungan anda. Sudah tentu anda tidak mahukan cinta anda kecundang di tengah jalan, bukan? Jika si dia secara terang-terangan tidak mahu berkahwin dengan anda, inilah masa yang sesuai untuk anda menilai semula perhubungan anda bersamanya. Kesimpulannya, janganlah membuang masa dengan cinta yang tiada matlamat.

  • SUKAR UNTUK DIJEJAKI

Pernah atau tidak anda berhadapan dengan situasi yang mana teman lelaki anda enggan menjawab panggilan telefon yang diterima apabila berada di sisi anda? Adakah dia dengan pantas menyembunyikan e-mel atau apa sahaja yang sedang dilakukannya sewaktu melayari internet? Maknanya, dia sedang cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan anda.

  • ASYIK BERGADUH

Bergaduh itu pengikat kasih sayang. Tetapi jika berlanjutan tanpa kesudahannya, ia bukan sahaja boleh memburukkan keadaan, bahkan merumitkan lagi perhubungan cinta anda berdua. Cari jalan penyelesaian terbaik dan kaji sama ada perkara yang menjadi bahan tikaman lidah itu berbaloi ataupun tidak, sebelum mengakhiri perhubungan.