Seorang penduduk Palestin meleraikan bahagian rumahnya selepas diarah meroboh kediamannya di Baitulmuqaddis. Foto SILWANIC


DUA penduduk Palestin di Baitulmuqaddis semalam dipaksa pihak berkuasa Israel agar memusnahkan sendiri rumah dihuni selama ini dengan tangan mereka sendiri.

Agensi berita Palestin, WAFA yang memetik sumber tempatan berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan bagi mengelak dua penduduk berkenaan daripada membayar kos tinggi  dan denda selepas mereka menerima perintah dari pihak berkuasa tempatan (PBT) Baitulmuqaddis Barat, Israel.

Di kawasan Jabal al-Mukaber,  Jamal Ajaj dirakam memusnahkan rumahnya dengan tangannya bagi mengelak kos tidak masuk akal yang dikenakan PBT Baitulmuqaddis Barat jika mereka sendiri yang melakukannya.

Selain itu, Ezzat Zeyadeh turut dipaksa memusnahkan rumahnya di selatan Baitulmuqaddis setelah Mahkamah Agung Israel menolak rayuannya untuk membekukan perintah perobohan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Israel turut memberi tempoh dua hari kepada seorang penduduk, Mohammed Abu Ahmad dari pekan Silwan di Baitulmuqaddis Timur agar memusnahkan rumahnya.

Sebaliknya jika gagal, dia perlu membayar kos berganda termasuk denda sekiranya PBT Baitulmuqaddis Barat sendiri datang memusnahkan rumahnya.

Banyak penduduk Palestin di kawasan dijajah rejim mula memusnahkan rumah mereka bagi mengelak kos tinggi yang terpaksa dibayar mereka kepada PBT Israel.

Dengan menggunakan alasan bangunan haram, Israel memusnahkan rumah penduduk Palestin secara kerap bagi menghadkan perkembangan mereka di Baitulmuqaddis yang diduduki Israel.