ayob
AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan statistik Op Soga yang dijalankan selama sebulan di Johor. - Gambar FB Polis Johor

KEJOHANAN bola sepak Euro 2020 baru sahaja melabuhkan tirai selepas menobatkan Itali sebagai juara apabila menumpaskan England dalam perlawanan akhir yang sungguh dramatik.

Bagaimanapun, bagi broker-broker judi, setiap kali ada perlawanan bola sepak yang besar sudah tentu peluang itu akan digunakan mereka untuk menarik minat ‘kaki-kaki judi’ mempertaruhkan wang.

Akibatnya, seramai 70 individu telah ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menerusi Op Soga 8 kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan judi Euro 2020 dengan nilai pertaruhan berjumlah RM44 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang ditangkap dipercayai terlibat sebagai ejen atau bookie melalui 54 serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan JSJ Johor selama sebulan dari 12 Jun hingga 12 Julai lalu.

Katanya, 70 individu yang ditahan kesemuanya warga tempatan berusia antara 17 hingga 65 tahun dengan membabitkan 67 lelaki Cina, dua lelaki Melayu dan seorang wanita Cina .

“Mereka ditangkap kerana terlibat dalam sindiket pertaruhan secara dalam talian menggunakan laman-laman web yang beroperasi di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Johor Bahru hari ini.

Polis Johor turut merampas wang tunai berjumlah RM42,000 dan peralatan lain digunakan dalam kegiatan tersebut termasuk telefon bimbit, komputer riba, mesin kira wang, modem internet dan kertas catatan rekod pertaruhan dalam serbuan yang dilakukan.

BERITA BERKAITAN Terlibat judi Euro 2020, 51 bookie nilai pertaruhan RM19 juta ditahan – Ayob Khan

Mereka yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM20,000 atau tidak lebih RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun di samping Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kesemua yang ditangkap turut disiasat di bawah Seksyen 4 1(D) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau tidak lebih RM200,000 dan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun.

“Kejayaan Op Soga hasil risikan JSJ IPK Johor dan maklum balas dari orang ramai,” katanya.

Katanya, kebanyakan operasi tertumpu di Johor Bahru dengan tangkapan dilakukan di rumah dan premis perniagaan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram